Anda di sini

Rokok seludup guna laluan udara RM1.08 juta dirampas

Advertisement

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2,145,000 batang rokok melalui jalan udara melibatkan anggaran cukai RM1.08 juta pada Jumaat lepas.

Rokok pelbagai jenama yang tiba melalui penerbangan kargo dari Phnom Penh, Kemboja itu dirampas pada jam 10.30 malam di depan Pos Malaysia International Hub di sini semasa cuba dibawa keluar menggunakan sebuah lori yang dipandu seorang warga tempatan berumur 49 tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Kastam Datuk Zulkifli Yahya berkata, pemeriksaan lanjut ke atas lori dan pemandu yang telah membuat pengikraran di Bahagian Pemeriksaan Kargo Import itu mendapati dokumen yang dibawa oleh suspek adalah berlainan daripada dagangan yang dibawa.

Dalam sidang media di sini semalam, beliau berkata barangan tersebut telah diikrar  sebagai konsol dan alamat yang digunakan adalah palsu.

Modus operandi sindiket tersebut ialah membawa dokumen yang berlainan daripada dagangan yang dibawa setelah melakukan pengikraran dengan kastam,” katanya.

Zulkifli berkata siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada penahanan dua lagi lelaki warga tempatan berumur 38 dan 43 tahun yang dipercayai anggota sindiket penyeludupan rokok terbabit.

Beliau percaya sindiket itu cuba menggunakan laluan udara sebagai taktik baharu menyeludup rokok selepas kegiatan mereka melalui jalan darat dan laut sering digagalkan pihak berkuasa.

Zulkifli berkata rampasan tersebut merupakan kejayaan terbesar kastam  setakat ini pada tahun ini, khususnya berkaitan cubaan menyeludup rokok melalui laluan udara.

Ketiga-tiga suspek kini direman tujuh hari dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum 20 kali ganda nilai barangan yang disita atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, katanya. — Bernama

Advertisement