Anda di sini

‘Dapur bergerak’, kursus kulinari singkat banyak manfaat

Advertisement
 Peserta mencuba sendiri menghias kek.
TEKUN: Peserta mencuba sendiri menghias kek.

KELAS kulinari melalui konsep ‘dapur bergerak’ amat memenuhi keperluan suri rumah, golongan wanita bekerja serta sesiapa sahaja yang berminat menimba ilmu membuat roti dan kek dalam waktu singkat.

Kelas ini sesuai digelar sebagai dapur bergerak kerana tenaga pengajarnya akan berkunjung ke tempat-tempat mengikut keselesaan para peserta, termasuklah di rumah peserta sendiri.

Kelas membuat roti dan kek sehari suntuk ini dimulakan oleh Pengurus Alya Resources Academy, Alauyah Mohd Ali dari Kuala Lumpur. Sambil ditemani suaminya Nazmi Osman, Alauyah telah mengelolakan kelas-kelas di Kuching, Kapit, Dalat, Song dan Sibu.

Menurut salah seorang tenaga pengajar yang membantu Alauyah iaitu Ungan Jelaing, sambutan terhadap kelas-kelas membuat roti dan kek ini sangat menggalakkan daripada para suri rumah dan wanita yang bekerja di tempat-tempat yang dinyatakan di atas.

Ramai yang menjadikan kursus ini untuk memahirkan diri dalam pembuatan roti dan kek kerana sebelum ini roti dan kek yang mereka hasilkan ‘kurang menjadi’.

Segelintir peserta pula mengambil kesempatan menimba ilmu untuk menghasilkan roti dan kek dengan harapan ia boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan. Selebihnya, ada juga peserta mahu menjadikan aktiviti membuat roti dan kek sebagai hobi mereka semata-mata.

Kata Ungan, kelas-kelas ini terus mendapat sambutan dan beliau sendiri kini aktif berulang-alik mengadakan tunjuk ajar di Kuching, Kota Samarahan, Sibu dan Dalat.

Kebiasaannya, beliau akan mengadakan kelas-kelas membuat roti dan kek pada hujung minggu. Selain membuat roti dan kek, para peserta juga berpeluang belajar memasak nasi Arab dan apabila selesai kelas para peserta akan diberikan sijil penyertaan.

Menurut Ungan lagi, sebahagian daripada pesertanya telah mula menghasilkan roti sendiri untuk dijual sebaik sahaja selesai mengikuti kelas membuat roti dan kek. Ini menunjukkan bahawa para peserta tersebut yakin dapat menghasilkan roti yang bermutu setelah mendapat tunjuk ajar melalui kelas berkenaan.

 Para peserta memberi tumpuan  penuh terhadap cara membuat nasi Arab.
FOKUS: Para peserta memberi tumpuan penuh terhadap cara membuat nasi Arab.
Advertisement