Anda di sini

Polis sahkan kes guru didakwa cederakan murid kini ditutup

Advertisement

TAWAU: Polis mengesahkan siasatan kes melibatkan seorang guru yang didakwa mencederakan seorang murid perempuan, kini ditutup, berdasarkan penilaian Timbalan Pendakwa Raya (TPR), pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata status kes berkenaan diletakkan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) mengambil kira beberapa faktor berkaitan.

“Antaranya, TPR berpendapat suspek tidak menendang mangsa seperti yang dilaporkan berikutan keterangan tidak konsisten daripada kesemua saksi (rakan sekelas mangsa).

“Malah keterangan saksi-saksi juga menunjukkan suspek tidak melakukan perkara terbabit,” katanya menerusi kenyataan medianya, di sini, Rabu.

Fadil berkata mangsa sengaja mereka cerita kerana bimbang dimarahi bapanya jika mendapat tahu dia terjatuh ketika hendak membeli makanan di luar kawasan sekolah.

Mengulas lanjut, beliau berkata pengadu kes yang juga ibu murid itu sudah menarik balik laporan yang dibuatnya sebelum ini dan tidak mahu polis meneruskan siasatan.

“Pengadu (ibu murid terbabit) sudah meminta maaf kepada suspek dan pihak sekolah berkenaan akibat perbuatan mangsa (anak perempuannya),” katanya.

Terdahulu, pada 15 Julai, polis mengesahkan siasatan kes terbabit dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Tindakan itu susulan laporan polis seorang suri rumah, 56, berhubung kejadian yang dikatakan berlaku pada 10 Julai, kira-kira jam 8 pagi, di sebuah sekolah rendah, di sini.

Sebelum ini, kes terbabit juga mendapat perhatian netizen di pelbagai aplikasi media sosial serta mendapat liputan meluas media-media arus perdana dan portal berita.

Advertisement