Anda di sini

Transformasi Sungai Gombak menerusi ‘KL River City’

Advertisement
 Adnan (tiga kiri) melihat replika bangunan dan mendengar penerangan dari Lim (dua kiri)  di Kuala Lumpur. — Gambar Bernama
DENGAR PENERANGAN: Adnan (tiga kiri) melihat replika bangunan dan mendengar penerangan dari Lim (dua kiri) di Kuala Lumpur. — Gambar Bernama

PROJEK ‘KL River City’ tampil menjadi ikon terbaharu ibu kota dan bakal menyaksikan pemulihan dan transformasi Sungai Gombak sebagai kawasan rekreasi bertaraf dunia yang mampu menjadi tarikan pelancong.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, projek itu akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembangunan di tebing sungai jajaran Sungai Gombak sepanjang 2.2 kilometer selain memberi nafas baharu kepada beberapa kawasan di utara Kuala Lumpur.  

“Projek kendalian Ekovest Berhad itu merangkumi kawasan Sentul, Titiwangsa dan Pekeliling yang mampu membuka peluang ekonomi di tebing-tebing sungai di kawasan terbabit,” katanya ketika melancarkan projek itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Projek itu terdiri daripada dua komponen utama iaitu pertama untuk membina Sistem ‘Gombak River Enhancement and Tunneling’  (GREAT) yang bertujuan menangani isu banjir kilat di kawasan sekitar Sungai Gombak selain kerja-kerja pemulihkan kualiti air sungai.

Komponen kedua pula membabitkan kerja-kerja pengindahan sungai dan pembangunan bersepadu meliputi pembangunan hartanah dan komersial di kawasan sekitar jajaran tebing sungai itu.

“Projek ini mendukung teras utama dasar dalam sektor pelancongan negara apabila jajaran Sungai Gombak direvolusikan menjadi jajaran sungai yang bakal menjadi daya tarikan baharu bagi industri pelancongan negara.

“KL River City juga dilihat memenuhi ciri-ciri keperluan untuk melonjakkan nama bandaraya Kuala Lumpur setanding dengan nama bandar-bandar besar seperti Melbourne, Vienna, Vancouver, Toronto, Calgary dan lain-lain lagi ,” kata Tengkun Adnan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ekovest Berhad Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata projek itu dijangka siap dalam tempoh lapan hingga 10 tahun dengan kerja pembinaan sistem GREAT dijadual bermula minggu depan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kos keseluruhan projek itu dan menganggarkan nilai pembangunan kasar (GDV) yang mampu diperoleh menerusi projek kawasan berkeluasan 130 hektar itu adalah melebihi RM6 billion. — Bernama

Advertisement