Anda di sini

Gempa bumi jejas destinasi popular Greece, Turki

Advertisement
 Bot-bot terdampar akibat tsunami selepas gempa bumi melanda Bodrum, Turki semalam. — Gambar AFP
ROSAK: Bot-bot terdampar akibat tsunami selepas gempa bumi melanda Bodrum, Turki semalam. — Gambar AFP

THEOLOGOS: Dua rakyat asing maut dan lebih 100 tercedera di pulau Kos di Greece apabila gempa bumi menggegar destinasi pelancongan terkenal di Greece dan Turki di Laut Aegean.

Kepusatan gempa bumi sekuat 6.7 magnitud adalah kira-kira 10.3 kilometer di selatan pusat peranginan utama Turki di Bodrum, satu tarikan bagi pelawat pada musim panas, dan 16.2 kilometer di timur pulau Kos di Greece, menurut US Geological Survey (USGS).

Polis berkata seorang rakyat Sweden dan seorang lagi dari Turki terbunuh di kawasan terkenal dengan hiburan malamnya namun tidak mendedahkan identiti mereka.

Mereka ditemui di atas jalan raya, dihempap sama ada oleh bahagian dinding sebuah bar yang runtuh atau oleh batu yang jatuh dari beberapa rumah lama berhampiran.

Kos menarik ramai pelancong muda dan ketika musim kemuncak mempunyai kapasiti bagi kira-kira 100,000 katil, menurut seorang pegawai polis tempatan, sambil menambah bahawa lebih 85 peratus telah ditempah baru-baru ini.

“Orang ramai berasa bimbang namun keadaan kembali tenang secara perlahan-lahan,” menurut pihak berkuasa.

Pelabuhan Kos telah ditutup kepada trafik dan tidak boleh dimasuki buat sementara waktu. Dua helikopter dihantar bagi membawa mangsa yang tercedera ke pulau berhampiran Rhodes.

Setiausaha negara Greece bagi tentera laut dagangan Nektarios Santorinios berkata jumlah mangsa tercedera telah meningkat kepada 120.

Gempa bumi berlaku semalam pada jam 1.31 pagi waktu tempatan. Ia turut dirasai di pulau Rhodes di Greece.

Seorang wartawan AFP yang menetap di Theologos, kira-kira 30 kilometer dari pekan Rhodes, berkata hotel “telah bergegar seperti sebuah bot dan saya memikirkan ia akan runtuh”.

“Kami berasa sangat terkejut. Kami berasa takut dan segera keluar dari situ,” Teddy Dijoux berusia 38 tahun, yang sedang bercuti bersama keluarganya di sebuah pusat peranginan, memberitahu AFP.

“Ia berlangsung bagi satu tempoh yang lama. Saya segera mengumpulkan anak-anak saya untuk keluar dari hotel,” kata seorang pelancong Sylvie Jannot.

Beberapa laporan menyata-kan hospital negara di pusat peranginan terkenal Turki di Bodrum telah dikosongkan selepas kelihatan beberapa retakan, dengan pesakit baharu telah diperiksa di sebuah taman di luar.

Gabenor bagi wilayah se-latan Mugla – di mana Bodrum terletak — berkata beberapa orang mengalami kecederaan ringan selepas terjatuh dari tingkap dalam keadaan panik.

Rakaman televisyen me-nunjukkan beberapa kumpulan penduduk yang kebimbangan dan pelancong di jalan raya Bodrum.

“Masalah paling besar buat masa sekarang adalah pemotongan bekalan elektrik di beberapa kawasan tertentu (di bandar),” datuk bandar Bodrum Mehmet Kocadon memberitahu televisyen NTV.

“Terdapat kerosakan ringan dan tiada laporan terdapat sesiapa yang terkorban di kawasan tersebut,” tambah beliau.

Masjid Adliye di tengah Bodrum telah mengalami sedikit kerosakan, dengan polis menutupnya bagi menghalang orang ramai tercedera akibat serpihan yang jatuh, lapor agensi berita milik negara Anadolu.

Gempa bumi itu turut dirasai di semenanjung Datca – juga sebuah kawasan pusat peranginan utama – termasuk di bandar ketiga Turki Izmir di Aegean hingga ke utara.

Saluran televisyen Turki melaporkan gempa bumi itu telah menyebabkan ombak tinggi di luar Gumbet berhampiran Bodrum yang menenggelami sebatang jalan raya dan menyebabkan kereta yang diparkir terkandas. Namun tiada laporan mengenai kematian atau kecederaan.

Erdinc Kalece, 47, dan anak lelakinya Baris, 23, telah dilihat berada di luar malam itu di dalam sebuah khemah sementara di luar rumah mereka di daerah Turgutreis di luar Bodrum.

“Bapa dan ibu saya sedang tidur, saya sedang memandu. Ia adalah sangat teruk. Jalan raya telah bergegar...Saya memperlahankan kereta, sambil menunggu. Saya tidak berasa takut namun teruja,” menurut Baris.

Erdinc menambah: “Sekarang kami menunggu bagi gegaran susulan berakhir.”

Turki dan Greece terletak pada garisan masalah ketara dan kerap kali dilanda oleh gempa bumi sejak beberapa tahun ini.

Pada tahun ini sahaja, pantai barat Aegean di Turki telah dilanda oleh beberapa gempa bumi, yang mengimbas semula kenangan bagi beberapa gempa bumi maut sebelum itu.

Pada Jun, satu gempa bumi sekuat 6.3 magnitud memus-nahkan sebuah kampung di pulau Lesbos di Greece, mengorbankan seorang wanita dan menyebabkan lebih 15 tercedera.

Gempa bumi turut men-cetuskan keadaan panik di pantai Aegean di Turki.

Pada 17 Ogos, 1999 satu gempa bumi yang besar berukuran lebih 7.0 magnitud berhampiran bandar Izmit telah memusnahkan kawasan luas di zon barat laut yang mempunyai ramai penduduk di negara ini, terutama di sekitar Istanbul, mengorbankan lebih 17,000 nyawa. — AFP

Advertisement