Anda di sini

Kes rabies di Serian masih terkawal: Dr Annuar

Advertisement

Jangan terus percaya kes berkaitan wabak ini sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan

KUCHING: Orang ramai diminta tidak terus percaya dengan kes berkaitan wabak rabies sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan bertanggungjawab.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee berkata, kes rabies yang berlaku melibatkan beberapa kampung di daerah Serian masih terkawal.

Keadaan rabies yang kita hadapi sekarang masih belum pulih seperti sedia kala tetapi percayalah bahawa masalah tersebut terkawal.

Jadi apa-apa berita yang kita dengar, lebih baik dengar selepas jam 5 petang setiap hari selepas kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Jawatankuasa Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Berkembar Gawai Aidilfitri 2017 yang bertemakan “Kepelbagaian Kaum Keutuhan Perpaduan Sarawak” anjuran PUSPEN Kuching yang dihadiri Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Wan Madihi Wan Salleh dan Pengarah PUSPEN Kuching Iskandar Turkee di sini, semalam.

Tambah Dr Annuar, segala berita atau perkara berkaitan dengan rabies sebelum jam 5 petang adalah kenyataan belum rasmi.

Ujarnya selepas jam 5 petang jawatankuasa akan mengeluarkan kenyataan mengenai status kes terbabit.

Sebelum ini terdapat empat kes di kalangan kanak-kanak dilaporkan dijangkiti virus rabies di negeri ini dan kesemua mangsa telah meninggal dunia.

Kes pertama melibatkan dua beradik iaitu kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan kakaknya berusia enam tahun dari Kampung Paon Sungai Rimu, Serian.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal pada 5 Julai 2017.

Sementara kes ketiga melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dari Kampung Lebur, Gedong turut disahkan meninggal dunia pada 13 Julai.

Kes keempat melibatkan seorang kanak-kanak berumur lima tahun dari Kampung Ampungan, Serian juga telah meninggal dunia pada 17 Julai 2017.

Sementara itu menurut kenyataan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri setakat jam 5 petang, 17 Julai, 24 kes gigitan anjing dilaporkan berlaku menjadikan jumlah 386 kes dilaporkan sejak 1 April lepas.

  • oleh
  • Advertisement