Anda di sini

JKKK perlu mengenal pasti potensi dan produk kampung

Advertisement

LIMBANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini perlu mengenal pasti potensi dan produk terdapat di kampung mereka untuk dimaju dan dibangunkan bagi meningkatkan sosioekonomi sekali gus membandarkan kawasan luar bandar dan kampung.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata terdapat kampung yang mempunyai sumber semula jadi boleh dimajukan termasuk dalam aspek pelancongan, inap desa dan sebagainya.

Katanya, aspek sosioekonomi amat penting sejajar dengan perubahan dan transformasi luar bandar mahu penduduk lebih kreatif, berpandangan jauh membangunkan kawasan mereka.

Banyak potensi boleh dibangunkan di kawasan sekiranya kita lebih kreatif dalam mengenal pasti kelebihan kampung untuk meningkatkan sosioekonomi.

Ini penting bagi menarik lebih ramai penduduk bandar berhijrah ke kampung untuk merasai keunikan terdapat di kawasan kita,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Anugerah Desa Perdana (ADP) 2017 di sini semalam.

Turut hadir Pegawai KEMAS Bahagian Limbang Khairul Amree Abdul Rahman dan jemputan lain.

Hasbi menjelaskan bahawa untuk menarik warga kota ke kampung penduduk kampung seharusnya memiliki produk yang unik.

JKKK perlu memberi peluang kepada golongan muda lepasan universiti di kampung memajukan kampung mereka dengan idea lebih baharu dan inovatif,” katanya.

Pada majlis itu, Kampung Pabahan Limbang muncul johan ADP peringkat bahagian kategori kampung sekali gus mewakili Limbang ke peringkat negeri hujung bulan ini.

Selaku juara mereka membawa pulang piala dan wang tunai RM5,000, diikuti Kampung Haji Bayan (Lawas) di tangga kedua menerima RM4,000 dan ketiga Kampung Baru Sundar Lawas menerima RM3,000.

Bagi kategori rumah panjang, Rumah Satu Kuala Mendalam Limbang muncul johan sekali gus menerima piala dan wang tunai RM5,000.

Diikuti tempat kedua Rumah Sintau Kampung Lubok Kepayang Limbang membawa pulang RM4,000 serta Rumah Jubang Tanah Merah Limbang di tempat ketiga menerima RM3,000.

Advertisement