Anda di sini

CGC terima Anugerah Karlsruhe untuk tahun ketiga

Advertisement

KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) menerima Sijil Merit pada Anugerah Kelestarian Kewangan Karlsruhe bagi tiga tahun berturut-turut.

Penganugerahan Sijil Merit ini merupakan tanda pengiktirafan yang diberikan kepada CGC dalam membolehkan akses kepada pembiayaan untuk kontraktor Bumiputera yang terlibat dalam pembangunan fasa kedua projek Aliran Transit Massa (MRT) di bawah Tabung Projek Usahawan Bumiputera-i (TPUB-i).

Tabung ini juga menawarkan akses pembiayaan untuk pelbagai projek infrastruktur kebangsaan lain yang berprestij tinggi seperti pembinaan LRT, MRT, Lebuhraya Pan Borneo serta Kompleks Pengerang Petroleum Johor Bersepadu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak menerima Sijil Merit tersebut bagi pihak CGC daripada Lord Mayor Dr Frank Mentrup pada Majlis Anugerah Kelestarian Kewangan Karlsruhe yang diadakan bersempena dengan Persidangan Kewangan Mampan Global yang berlangsung di Karlsruhe, Jerman.

Menurut Mohd Zamree, kemenangan Sijil Merit ini membuktikan komitmen dan pimpinan syarikat dalam mengendalikan urusan harian berteraskan pengamalan kesinambungan dalam semua lapisan operasi syarikat. 

Kami berasa amat gembira untuk menerima Sijil Merit ini kerana ia merupakan satu testimoni terhadap sokongan padu yang kami terima sepanjang tahun daripada para pelanggan, ditambah pula dengan usaha gigih kami yang seiring dengan Strategi 5 Tahun CGC dalam usaha mencapai aspirasi CGC ke arah menjadi ‘Nama Utama Untuk PKS Menjelang 2020’.

Anugerah Kelestarian Kewangan Karlsruhe memberi penghormatan kepada institusi-institusi kewangan dan organisasi yang telah memberikan sumbangan yang siginifikan dalam bidang kewangan mampan.

Karlsruhe merupakan sebuah kota hab sains dan teknologi di Jerman di mana penghuninya mengamalkan prinsip pemikiran terbuka. Kota ini turut menjadi tapak Makhamah Persekutuan Wilayah.

CGC memenangi Anugerah Kelestarian Kewangan Karlsruhe buat julung kalinya pada bulan Jun 2015, di bawah kategori Inovasi Servis Kewangan Terbaik untuk produk BizMula-i.

Pada tahun berikutnya, CGC memenangi sijil Merit Inovasi Terbaik, di bawah kategori Produk dan Perkhidmatan Kewangan Mampan untuk produk BizWanita-i pada Majlis Anugerah Kelestarian Kewangan Karlsruhe 2016.

Advertisement