Anda di sini

Bicara Persaraan Bersama KWSP Sabtu dan Ahad ini

Advertisement

KUCHING: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengadakan ceramah bertajuk Bicara Persaraan bersama KWSP pada Sabtu dan Ahad ini di pusat beli-belah tHe Spring.

KWSP telah menjalankan aktiviti ceramah secara aktif di seluruh negara, di mana ia turut dijalankan di Sabah pada hujung minggu lepas bagi menekankan isu-isu berpotensi berhubung persaraan.

Menurut kenyataan akhbar semalam, perkara itu susulan Malaysia bergerak pantas ke arah negara berumur menjelang 2030 iaitu apabila kira-kira 15 peratus penduduk negara ini akan terdiri daripada warga emas.

Ini akan menimbulkan beberapa kesan ekonomi seperti kenaikan kos untuk menangani keperluan penduduk yang semakin tua dari segi penjagaan kesihatan dan bantuan sosial.

Dengan jangka hayat rakyat Malaysia yang lebih panjang pada 75 tahun, KWSP percaya rakyat Malaysia memerlukan lebih banyak simpanan untuk membiayai tempoh persaraan lebih lama,” kata kenyataan tersebut.

Menerusi ceramah itu, KWSP akan menangani isu-isu membimbangkan masyarakat dengan menyediakan orang ramai ke alam persaraan yang selesa dan memastikan kelestarian simpanan persaraan.

Antara topik-topik bakal dibincangkan termasuk ‘Khidmat Nasihat Persaraan – Langkah Pertama Ke Arah Perancangan Persaraan’ ‘Saluran Khidmat Dalam Talian dan Pengeluaran KWSP – Terokai e-Pengeluaran Dalam Talian’  dan ‘Pengurusan Hutang dan Bagaimana Ia Boleh Mengukuhkan Pelan Persaraan’.

Beberapa aktiviti menarik seperti kuiz dan pemberian hadiah akan turut diadakan dalam acara selama dua hari tersebut.

Orang ramai turut berpeluang untuk mendaftar i-Akaun atau memeriksa penyata KWSP terkini dengan Pasukan Mobil KWSP.

Pegawai-pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan memberi rundingan mengenai persaraan dan pengurusan hutang secara percuma, tertakluk kepada terma dan syarat.

Advertisement