Anda di sini

Pegawai SPRM ambil dokumen di Balai FELDA

Advertisement
 Pasukan penyiasat SPRM tiba di pejabat FIC di Tingkat 4 Balai Felda di Jalan Gurney semalam untuk mengambil beberapa dokumen yang boleh membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London. — Gambar Bernama
MENCARI BUKTI: Pasukan penyiasat SPRM tiba di pejabat FIC di Tingkat 4 Balai Felda di Jalan Gurney semalam untuk mengambil beberapa dokumen yang boleh membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di pejabat FELDA Investment Corporation (FIC) di tingkat 4, Balai FELDA, Jalan Gurney 1, di sini bagi mengambil beberapa dokumen yang boleh membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di Kensington, London.

Pasukan penyiasat yang dianggotai tujuh pegawai SPRM berkenaan tiba di pejabat FIC pada kira-kira jam 10.20 pagi.

Petugas media yang mendapat maklumat mengenainya berkumpul di pintu masuk utama bangunan itu sejak jam 9 pagi untuk membuat liputan perkembangan terkini perkara itu.

Baru-baru ini, SPRM, dalam satu kenyataan menyatakan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014.

Hasil maklumat siasatan awal mendapati FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

Kenyataan itu menjelaskan individu-individu berkenaan merupakan saksi penting bagi membantu siasatan mengenai proses pembelian hotel tersebut antara 2013 hingga 2015. — Bernama

Advertisement