Anda di sini

Kes rabies dikesan di Kuala Sepetang, Taiping: KP Veterinar

Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini melaksanakan pemvaksinan anjing-anjing bertuan di Kuala Sepetang, Taiping, Perak susulan kes rabies atau penyakit anjing gila dikesan di  kawasan itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kawasan jangkitan adalah terhad kepada satu kampung sahaja dengan aktiviti pemvaksinan dilaksanakan dalam lingkungan 1km radius daripada kes tersebut dikesan.

Menurutnya kes itu dikesan apabila seorang pemilik anjing membuat laporan pada 13 Julai lepas (Khamis) bahawa anjing miliknya telah mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudaranya.

"Selepas lima hari mengigit mangsa, anjing tersebut didapati menunjukkan tanda klinikal seperti tiada selera makan dan mengasingkan diri. Seterusnya muntah, demam serta mengalami kekejangan di kaki hadapan dan belakang," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Katanya Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) kemudiannya mengesahkan sampel otak anjing tersebut positif virus Rabies melalui ujian yang dijalankan semalam (15 Julai).

Dr Quaza Nizamuddin berkata, kedua-dua mangsa gigitan anjing tersebut telah dibawa ke Pusat Kesihatan Kuala Sepetang untuk cucian luka dan suntikan tetanus.

"Kedua-dua mangsa kemudian telah dimasukkan ke Hospital Taiping dan masih berada di hospital untuk menunggu pengesahan bagi memulakan suntikan vaksin," katanya.

Beliau berkata jangkitan rabies pada anjing tersebut berkemungkinan adalah melalui gigitan "rabid dog" yang dibawa di dalam bot oleh warga asing dari negara-negara jiran memandangkan Kuala Sepetang merupakan kawasan pelabuhan pendaratan ikan.

"Ini adalah kes terpencil dan tiada kaitan dengan kes Rabies di Sarawak," katanya.

Menurutnya anggaran populasi anjing bertuan di kawasan Kuala Sepetang adalah sebanyak 120 ekor manakala anjing liar sebanyak 50 ekor.

Selain pemvaksinan anjing bertuan, Dr Quaza Nizamuddin berkata DVS turut melaksanakan kerja-kerja memusnahkan anjing yang menunjukkan tanda klinikal penyakit dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mengambil sampel daripada kepala anjing.

Katanya survelan penyakit turut dijalankan dalam lingkungan 10km radius dari lokasi jangkitan.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menjauhkan diri daripada anjing liar atau anjing tidak bertuan bagi mengelak daripada digigit anjing.

"Jika digigit anjing, basuhkan luka dengan air dan sabun secepat mungkin. Selepas itu terus ke klinik kerajaan atau hospital yang berdekatan untuk mendapatkan suntikan vaksin," katanya

Dr Quaza Nizamuddin berkata pemilik haiwan kesayangan juga diminta untuk tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka bebas berkeliaran selain melaporkan kepada PBT atau pejabat DVS jika ada anjing berkeliaran di kawasan tersebut. - BERNAMA

Foto fail
Foto fail
Advertisement