Anda di sini

STAGG selamatkan 19 wanita Vietnam mangsa eksploitasi seks

Advertisement

JOHOR BAHRU: Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman berjaya menyelamatkan 19 wanita Vietnam yang dipercayai mangsa eksploitasi seks dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, malam kelmarin.

Ketua Operasi Supt Mohd Shokri Abdullah berkata kesemua wanita berumur antara 20 dan 35 tahun itu diselamatkan menerusi Ops Noda yang dilakukan serentak di pusat urut refleksologi dan juga asrama berhampiran bermula jam 7.45 malam.

“Menerusi operasi ini, kita turut menahan 21 wanita rakyat Vietnam, 18 warga China dan lima rakyat Thailand kerana terlibat dalam kegiatan tidak bermoral  serta dua lelaki rakyat China dan seorang lelaki Indonesia. Kesemuanya berusia antara 20 dan 38 tahun.

Turut ditahan, 17 lelaki tempatan yang merupakan pekerja dan penjaga premis berusia antara 35 dan 45 tahun,” katanya kepada pemberita selepas serbuan terbabit.

Mohd Shokri berkata siasatan awal mendapati kesemua premis terbabit  berselindung atas nama pusat refleksologi dan kecantikan bagi menawarkan perkhidmatan seks dan tukang urut wanita warga asing.

Beliau berkata premis terbabit dilengkapi sistem kamera litar tertutup (cctv) dan pintu masuknya pula dikawal dengan alat kawalan jauh.

Katanya siasatan mendapati bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan seks adalah antara RM150 dan RM200 sejam dengan pelanggan boleh memilih wanita yang diingini menerusi aplikasi WeChat.

Didapati kebanyakan premis yang diserbu itu menyimpan wanita rakyat asing berkenaan di asrama berhampiran premis perniagaan bagi mengelakkan daripada ditangkap pihak berkuasa.

“Pergerakan wanita rakyat asing itu turut dikawal penjaga yang diupah pemilik premis selain keadaan asrama yang didapati dalam keadaan kotor dan tidak terurus,” katanya.

Menurut Mohd Shokri pihaknya merampas pelbagai peralatan yang digunakan dalam aktiviti tidak bermoral tersebut antaranya 115 peket kondom, dua botol minyak pelincir, 10 botol minyak urut, lima buku catitan perniagaan serta wang tunai RM11,565.

Katanya kes disiasat mengikut pelbagai akta termasuk Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 55b dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 372B Kanun Keseksaan. — Bernama

Advertisement