Anda di sini

Rafizi Ramli bebas tuduhan sengaja aib anggota UMNO

Advertisement

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam membebaskan Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli daripada tuduhan sengaja mengaib dan membangkitkan kemarahan anggota UMNO menerusi satu kenyataan tiga tahun lepas, setelah membenarkan rayuannya.

Keputusan yang dibuat oleh Hakim Datuk Ghazali Cha itu sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman denda RM1,800 atau penjara 10 bulan ke atas Mohd Rafizi yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 26 Jan tahun lepas.

Selain itu, hakim Ghazali turut menolak rayuan balas yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan terhadap hukuman denda tersebut.

Mohd Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo manakala Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad hadir bagi pihak pendakwaan.

Muhamad Iskandar ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata pihak pendakwaan bercadang untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

“Saya akan buat laporan dan memberi cadangan kepada Peguam Negara untuk kes ini dirayu di peringkat tinggi dalam masa terdekat,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Rafizi, 40, dengan sengaja mengaib dan membangkitkan kemarahan anggota UMNO melalui kenyataannya dalam artikel bertajuk ‘Will Rafizi quit if Selangor is not toppled?’ yang boleh mengancam keamanan awam.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat The Edge Malaysia Communication Sdn Bhd, Menara KLK, Jalan PJU 7/6, Mutiara Damansara dekat sini, pada jam 11.40 pagi, 4 Feb 2014.

Mohd Rafizi didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, dalam penghakimannya hakim Ghazali berkata pertuduhan terhadap Mohd Rafizi tidak lengkap seperti mana peruntukanÂ mengikutÂ Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana tidak menyatakan elemen niat dan pengetahuan Mohd Rafizi dalam mengeluarkan kenyataan tersebut.

Menurut beliau, jika melihat kepada pertuduhan, kenyataan dibuat secara umum kepada anggota UMNO dan reaksi daripada kenyataan itu hanya setakat membuat laporan polis oleh UMNO Selangor, bukan oleh UMNO secara keseluruhan serta tidak melibatkan sebarang kejadian yang boleh mengancam keamanan awam. — Bernama

Advertisement