Anda di sini

159,000 kad pengenalan masih tidak dituntut

Advertisement
 Mohd Yazid (empat kanan) melihat MyKad yang diterima salah seorang pemohon selepas merasmikan Hab Pencetakan Teragih JPN Negeri Pahang di JPN daerah Pekan, semalam. Turut hadir Timbalan Pengarah JPN negeri Nazrifairuz Mahmod (kanan). — Gambar Bernama
WAJAH KEGEMBIRAAN: Mohd Yazid (empat kanan) melihat MyKad yang diterima salah seorang pemohon selepas merasmikan Hab Pencetakan Teragih JPN Negeri Pahang di JPN daerah Pekan, semalam. Turut hadir Timbalan Pengarah JPN negeri Nazrifairuz Mahmod (kanan). — Gambar Bernama

PEKAN: Sebanyak 159,000 kad pengenalan direkodkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih belum dituntut oleh pemiliknya sehingga ada yang melebihi tempoh dua tahun.

Ketua Pengarah JPN  Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, punca utama kepada masalah tersebut tidak dapat diketahui, namun tidak menolak kemungkinan ia disebabkan oleh sikap pemilik yang mengambil mudah tentang soal pemilikan dokumen pengenalan diri. 

“Apa yang saya boleh katakan, semuanya terletak pada sikap individu itu sendiri sama ada mereka ambil berat atau tidak kepentingan dokumen pengenalan diri berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Hab Percetakan Teragih MyKad Negeri Pahang di JPN Pekan di sini semalam.

Beliau berkata setakat ini individu yang gagal mengambil kad pengenalan yang telah siap boleh didenda maksimum RM40 dan pihaknya sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan yang lebih tegas untuk mengelakkan perkara ini terus berlaku.

Mohd Yazid berkata sebanyak 55 pejabat JPN di seluruh negara kini dibekalkan dengan mesin pencetak melalui projek Percetakan Teragih MyKad (DPP) untuk penambahbaikan.

“Melalui pelaksanaan projek ini, sebanyak 36 daripada 55 pejabat DPP telah dijadikan Hab DPP yang akan mencetak permohonan MyKad daripada pejabat-pejabat JPN berdekatan (Sub Hab) berjumlah 157 pejabat yang sebelum ini dicetak di Ibu Pejabat JPN.

“Tempoh serahan MyKad bagi pejabat-pejabat Sub Hab dapat dipendekkan dari 10 hari bekerja kepada lima hari bekerja bagi pejabat di Semenanjung dan 30 hari bekerja kepada tujuh hari bekerja bagi pejabat di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Katanya, penambahbaikan berterusan JPN adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat seperti projek Hab DPP yang dapat mempercepatkan urusan pengeluaran MyKad dengan penjimatan tempoh siap antara 50 peratus hingga 70 peratus. — Bernama

Advertisement