Anda di sini

Inap desa perlu kelainan untuk kekal bersaing

Advertisement
 Junaidi (kiri) merenjis pasangan pengantin olok-olok bagi menghidupkan budaya Melayu pada Majlis Indahnya Raya Homestay Kampung Santubong.
SEPADAN: Junaidi (kiri) merenjis pasangan pengantin olok-olok bagi menghidupkan budaya Melayu pada Majlis Indahnya Raya Homestay Kampung Santubong.
 Tarian Puteri Gunung Santubong dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Sekolah Seni Kuching.
PENYERI: Tarian Puteri Gunung Santubong dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Sekolah Seni Kuching.

PENGUSAHA inap desa di negeri ini perlu memberi kelainan pada inap desa yang diusahakan oleh mereka untuk kekal bersaing dalam industri tersebut.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inap desa merupakan satu bidang yang menarik untuk diceburi oleh usahawan tempatan.

Bagaimanapun katanya, pengusaha inap desa perlu bekerja lebih gigih untuk membolehkan mereka bersaing dengan pengusaha lain yang menawarkan produk sama.

Sektor pelancongan merupakan industri kedua terbesar negara dan kita perlu merebut peluang ini untuk mengetengahkan produk-produk pelancongan yang ada di sekeliling kita.

Homestay Kampung Santubong misalnya, bukan sahaja telah memperkenalkan Sarawak kepada masyarakat dunia tetapi turut menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Indahnya Raya yang berlangsung di Homestay Kampung Santubong dekat Kuching, Sabtu.

Majlis tersebut mendapat tajaan daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Kolej Komuniti Kuching, Kawasan Rukun Tetangga Kampung Santubong dan penduduk kampung.

Berbeza dengan sambutan raya yang lain, majlis itu  menonjolkan keunikan budaya masyarakat Melayu kepada para tetamu termasuk dari luar negara.

Lebih menarik, majlis itu turut menyaksikan upacara persandingan ‘olok-olok’ oleh pasangan mempelai bagi menghidupkan lagi budaya Melayu pada majlis itu.

Dalam pada itu, ketibaan tetamu ke majlis berkenaan disambut dengan persembahan hadrah diikuti dengan persembahan tarian Puteri Gunung Santubong.

Sambil menikmati pelbagai hidangan tempatan, tetamu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelancong dari Korea dan Australia turut dihiburkan dengan persembahan Gendang Melayu.

Turut hadir menyerikan majlis ialah Pengasas Homestay Kampung Santubong Jamilah Syukri dan isteri Speaker DUN Datin Amar Fatimah Abdullah.

 Junaidi (berdiri, lima kiri) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu pada Majlis Indahnya Raya di Homestay Kampung Santubong.
KENANGAN RAYA: Junaidi (berdiri, lima kiri) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu pada Majlis Indahnya Raya di Homestay Kampung Santubong.
 Tetamu duduk bersila menjamu selera mengikut budaya masyarakat Melayu.
SOPAN: Tetamu duduk bersila menjamu selera mengikut budaya masyarakat Melayu.
  • oleh
  • Advertisement