Anda di sini

AMK Sarawak sambut baik langkah KM hantar pasukan peguam ke London

Advertisement

KUCHING: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak menyambut baik keputusan dan tindakan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk menghantar pasukan peguam negeri ke London.

Ketua AMK Sarawak Abdul Raafidin Majidi berkata, pihaknya sedia maklum dengan tindakan Ketua Menteri yang mengarahkan pasukan undang-undang negeri untuk pergi ke London bagi mendapatkan gambaran penuh berkenaan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963).

Tegasnya, AMK Sarawak tidak mempunyai masalah untuk menyokong tindakan tersebut sekiranya ia memberi manfaat kepada Sarawak.

“Rakyat Sarawak juga mulai sedar akan hak mereka sebagai salah satu komponen penting dalam penubuhan Persekutuan Malaysia.

“Hak-hak tersebut hendaklah terus diperjuang dan dilaksanakan termasuklah isu royalti minyak kerana sebahagian besar medan minyak dan gas di negara ini terletak dalam perairan negeri Sarawak,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini semalam.

Raafidin memberitahu walaupun terdapat pihak yang melihatnya sebagai satu tindakan pembaziran wang rakyat kerana di zaman teknologi moden kini terdapat dokumen yang boleh didapati melalui medium komunikasi, namun tindakan kerajaan negeri adalah wajar.

“Tindakan ini akan memberikan maklumat terkini yang tidak pernah diketahui dan diperolehi oleh semua pihak serta dapat membantu mengembalikan hak penuh rakyat Sarawak, AMK Sarawak berpendapat pemergian pasukan tersebut adalah wajar ketika ini,” tambahnya.

Pada masa sama beliau mencadangkan agar Ketua Menteri melantik barisan peguam dan pengamal undang-undang yang berkaliber serta berpengetahuan dalam isu ini termasuklah peguam-peguam daripada pihak pembangkang Sarawak untuk sama-sama menyertai pasukan tersebut.

“AMK Sarawak yakin Parti Keadilan Rakyat dan parti komponen Pakatan Harapan mempunyai ramai peguam berkaliber yang boleh membantu pasukan tersebut mendapat maklumat dalam lawatan ini.

“AMK Sarawak juga melihat isu ini dari perspektif kebaikan rakyat Sarawak dan percaya dengan prinsip hak Sarawak haruslah didahulukan daripada segalanya.

“Ini juga secara tidak langsung akan memberi isyarat kepada kerajaan persekutuan Barisan Nasional (BN) bahawa dalam isu memperjuangkan hak Sarawak, rakyat Sarawak akan bersatu hati walaupun berbeza parti dan prinsip,” tegasnya.

Namun menurutnya lagi, AMK Sarawak mengingatkan pasukan peguam dan pengamal undang-undang yang akan menyertai lawatan tersebut untuk menggunakan sebaik-baiknya wang rakyat dalam memperjuangkan hak Sarawak dan bukannya sebagai ‘drama’ atau percutian yang ditaja oleh rakyat.

“AMK Sarawak juga konsisten menggesa Ketua Menteri untuk terus ikhlas dalam isu autonomi dan mendesak Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak untuk mengembalikan hak Sarawak,” ujarnya.

Advertisement