Anda di sini

BDA larang aktiviti penjualan loteri di premis makanan

Advertisement
 Wan Ibrahim (dua kiri) bersama Abdul Wahab (dua kanan) menunjukkan poster dan notis larangan penjualan loteri di premis makanan akan ditampal di semua premis makanan sekitar Bintulu termasuk Tatau dan Sebauh sambil disaksikan Mohamed Ansari (kiri) serta pegawai BDA.
LARANGAN: Wan Ibrahim (dua kiri) bersama Abdul Wahab (dua kanan) menunjukkan poster dan notis larangan penjualan loteri di premis makanan akan ditampal di semua premis makanan sekitar Bintulu termasuk Tatau dan Sebauh sambil disaksikan Mohamed Ansari (kiri) serta pegawai BDA.

BINTULU: Penguatkuasaan dan larangan tegas dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) agar aktiviti penjualan loteri tidak dilakukan di premis makanan di sekitar bandar Bintulu termasuk Tatau dan Sebauh.

Penolong Pengurus Besar (Khidmat Alam Sekitar) BDA Wan Ibrahim Wan Ali berkata, arahan bagi larangan tersebut dan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri dengan mempamerkan poster berkaitan di setiap premis makanan di bahagian ini.

Katanya, pelaksanaan tindakan menampal poster itu akan dilakukan pada Isnin ini (10 Julai) untuk 400 premis makanan di sekitar Bintulu.

Kami berharap pengusaha dan pengendali premis makanan maklum mengenainya. Penganjuran sesi dialog untuk memaklumkan perkara berkaitan tidak dapat dilakukan kerana mengambil kira kemungkinan pemilik atau pengusaha premis makanan sukar untuk menghadirinya.

Melalui pemakluman ini kami berharap pengusaha premis makanan faham dan ia juga antara satu daripada syarat baharu dalam permohonan dan pengeluaran lesen pengendalian makanan yang akan dikuatkuasakan,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (PERBINDA) BDA di Jalan Sultan Iskandar di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Kanan (Perkhidmatan Perbandaran) Abdul Wahab Hashim Bujang dan Pengurus (Kebersihan Alam Sekitar) Nohamed Ansari Mohd Syed Ahmad.

Wan Ibrahim berkata, poster berkaitan yang akan ditampal di premis makanan terbabit turut memaklumkan mengenai denda dan kesalahan pemilik premis sehingga RM50,000 dan tiga tahun penjara, penjualnya boleh didenda RM200,00 dan lima tahun penjara manakala bagi pembeli loteri pula boleh dikenakan denda RM5,000 dan enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Pihak kami berharap pemilik premis tidak mengalih, merosakkan atau menanggal poster larangan yang akan dilekat tersebut, namun sekiranya rosak kami akan menggantikannya dengan poster baharu untuk dilekatkan semula,” tegasnya sambil menambah, tindakan wajar akan diambil sekiranya pemilik premis tidak memberikan kerjasama.

Katanya, sekiranya pemilik premis makanan tidak mematuhi arahan atau melanggar syarat tersebut pihaknya berhak membatalkan lesen perniagaan mereka.

Kami berharap mesej ini sampai kepada semua peniaga atau pemilik premis makanan dan sekiranya tidak memahaminya kami akan menerangkan di lokasi semasa pelaksanaan pemasangan poster di premis makanan masing-masing,” ujarnya.

Katanya, ia antara arahan tegas yang perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan dan pemilik premis yang menyalahi peraturan itu, tertakluk di bawah kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dikuatkuasakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sekiranya sabit kesalahan lesen pemilik premis boleh dibatalkan.

Advertisement