Anda di sini

Anak kelahiran Dalat berhijrah ke Kuching dikumpulkan 23 Julai ini

Advertisement

KUCHING: Buat julung kalinya anak kelahiran Dalat yang berhijrah ke Kuching akan dikumpulkan pada satu majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini pada 23 Julai ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah berkata majlis berkenaan yang dikenali sebagai Ramah-Tamah e-DOK dijangka dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

Beliau berkata satu jawatankuasa sudah ditubuhkan bagi mendapatkan senarai penghijrah yang menetap di Kuching sama ada kerana berkahwin, bekerja atau melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi untuk bersama memeriahkan majlis itu.

Majlis itu kita rancang khusus untuk mengumpulkan anak-anak Dalat, sama ada dari kawasan pekan Dalat serta perkampungan sekitarnya seperti Medong, Kekan, Kampung Brunei, Kampung Tengah, Kampung Seberang, Kampung Hilir, Kampung Sungai Ud, Kampung Baru, Kampung Tanam dan Kampung Balan serta Oya yang meliputi Kampung Senau, Kampung Bakong, Kampung Terus hingga Kampung Teh dan Kut yang meliputi Kampung Sungai Kut Tengah dan Kampung Sungai Kut Muara.

Sebab itu majlis ini kita namakan e-DOK iaitu singkatan Dalat, Oya dan Kut dan disebut ‘iduk’ dalam bahasa Melanau dan mempunyai pengertian sendiri iaitu panggilan manja untuk anak-anak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Ramah-Tamah e-DOK di pejabatnya di sini, semalam.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, selain mengumpul anak-anak Dalat untuk mengeratkan silaturahim sesama mereka, majlis itu juga diadakan bagi membolehkan pengumpulan maklumat dilakukan untuk mewujudkan pangkalan data khusus untuk mengenal pasti jumlah sebenar penghijrah dari daerah itu di Kuching.

Pangkalan data itu bukan sahaja membolehkan kita mengetahui senarai lengkap anak Dalat yang menetap di Kuching tetapi ia juga perlu untuk memudahkan kita menghubungi atau mengumpul anak-anak Dalat apabila berlaku sesuatu terutama bagi menjaga kebajikan mereka. 

  “Ini kerana biasa berlaku ada kalangan penduduk dari Dalat yang menghadapi kesulitan ketika mendapatkan rawatan di Kuching sama ada di Hospital Umum Sarawak (HUS) atau Pusat Jantung HUS di Kota Samarahan. 

Begitu juga apabila berlaku kematian yang memerlukan bantuan membawa balik jenazah ke kampung halaman yang terletak lebih 800 kilometer dari Kuching,” katanya.

  Justeru katanya, Ramah-Tamah e-DOK yang dirancang itu bukan sekadar untuk memberi peluang kepada anak-anak Dalat berkumpul dan beramah mesra sesama mereka, tetapi yang paling utama sebagai satu platform untuk mewujudkan satu jalinan kerjasama antara mereka yang sudah berpindah dari kampung dan menetap di Kuching.

Advertisement