Anda di sini

Polis Jerman guna meriam air lerai protes G20

Advertisement
 Polis menggunakan meriam air bagi menyuraikan protes di Schanzenviertel menjelang sidang kemuncak G20 di Hamburg, kelmarin. — Gambar Reuters
LERAI KERAS: Polis menggunakan meriam air bagi menyuraikan protes di Schanzenviertel menjelang sidang kemuncak G20 di Hamburg, kelmarin. — Gambar Reuters

HAMBURG: Polis rusuhan menggunakan meriam air pada malam kelmarin untuk meleraikan beberapa perhimpunan penunjuk perasaan menjelang sidang kemuncak G20 di Hamburg.

Polis mula-mula meleraikan penunjuk perasaan yang telah mendirikan khemah di sebuah taman dalam daerah barat Altona, menurut polis dan laporan media.

Ini bukan rapat umum yang sah tetapi perkhemahan yang tidak dibenarkan,” kata seorang jurucakap polis.

Tidak lama kemudian, sejurus sebelum tengah malam, polis menggunakan meriam air dan penyembur lada untuk meleraikan rapat umum yang dihadiri beberapa ratusan orang yang mula menutup jalan di pelbagai lokasi, khususnya di kawasan kejiranan Sankt-Pauli.

Seorang individu ditangkap dan seorang individu yang lalu di tempat kejadian, dan tidak terbabit dalam demonstrasi, cedera ringan, menurut satu mesej polis dalam Twitter.

Pada Ahad lepas, polis menggunakan penyembur lada ketika mereka merobohkan khemah yang didirikan oleh kira-kira 600 aktivis di tebingan Sungai Elbe.

Penganjur protes anti-G20 dan negeri Hamburg sudah berminggu-minggu bertarung dalam mahkamah mengenai sama ada aktivis dapat mendirikan kota khemah atau tidak.

Mahkamah mendapati, sementara kem protes sedemikian pada dasarnya adalah demonstrasi politik yang sah, polis mempunyai hak untuk melarang perkhemahan semalaman di atas tanah awam.

Lebih 100,000 penunjuk perasaan antikapitalis, termasuk beberapa ribu pelampau haluan kiri, dijangka membanjiri kota utara itu menjelang sidang kemuncak yang bermula esok (Jumaat).

Kira-kira 20,000 anggota polis akan dikerahkan untuk melindungi pemimpin yang menghadiri mesyuarat selama dua hari itu. — AFP

Advertisement