Anda di sini

Kesemua lapan mangsa helikopter terhempas ditemui maut

Advertisement

JAKARTA: Kesemua lapan anggota pasukan Badan Mencari dan Menyelamat (Basarnas) yang dilaporkan hilang bersama sebuah pesawat helikopter semalam telah ditemui dan disahkan maut.   

Media-media dalam talian memetik Ketua Basarnas Jawa Tengah Agus Haryono sebagai berkata, jenazah mereka ditemui dalam bangkai pesawat yang hancur di kawasan Pegunungan Butak, Temanggung, Jawa Tengah.

Jenazah mereka dibawa ke Hospital Bhayangkara Semarang dan telah dikenal pasti oleh keluarga masing-masing dan Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Polis Daerah Jawa Tengah.

Empat daripada mangsa ditemui di tempat kejadian semalam manakala empat lagi ditemui pagi tadi.

Mereka yang terkorban dikenali sebagai juruterbang dan pembantunya Haryanto dan Li Solihin serta dua kru pesawat itu Hari Marsono dan Budi Santoso manakala empat anggota pasukan penyelamat Basarnas ialah Maulana Afandi, Nyoto Purwanto, Budi Resti dan Catur.

Dalam kejadian itu, lapan anggota Basarnas termasuk kru helikopter jenis Dauphin dilaporkan hilang pada pukul 4 petang semalam setelah beberapa minit berlepas dari pusat operasi Basarnas Jawa Tengah bagi misi bantuan di kawasan Kawah Sileri, di Dieng, daerah Banjarnegara di Jawa Tengah.
          Pesawat jenis Dauphin AS 36165 buatan PT Dirgantara Indonesia itu adalah antara pesawat terbaik yang digunakan oleh Basarnas dalam operasi mencari dan menyelamat.

Bagaimanapun, dalam kejadian semalam, pesawat itu dipercayai merempuh tebing di Gunung Butak, Temanggung kerana kawasan gunung itu dipercayai diselimuti kabut tebal.

Sementara itu, Kawah Sileri itu dilaporkan meletus semalam dan dilaporkan masih mengeluarkan debu volkanik setinggi lebih 50 meter. Pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan supaya para penduduk di sekitar radius 100 meter meninggalkan kawasan kawah gunung berapi itu dengan segera.

Kawah Sileri adalah antara destinasi pelancongan alam di Dataran Tinggi Dieng di Jawa Tengah kerana kawah gunung berapi itu mendatar dan air dalam kawah yang mendidih dapat dilihat dengan jelas.

Kawah itu pernah meletus beberapa kali serta mengeluarkan gas beracun dan letusan pada tahun 1979 telah mengakibatkan 149 orang mati kerana terhidu gas beracun dari kawah itu.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Penanggulangan Bencana Sutopo Purwo Nugroho berkata letusan Kawah Sileri adalah freatik, iaitu letusan gas atau hembusan asap serta bahan yang dipicu oleh tekanan gas di bawah permukaan.

"Pasukan pihak berkuasa sudah berada di lokasi. Pengunjung dan warga tempatan diminta  meninggalkan lokasi kerana kawah itu berpotensi menimbulkan letupan susulan," katanya. - BERNAMA

Foto ihsan Taruna Bencana menunjukkan bangkai helikopter milik Kebangsaan Mencari dan Menyelamat Agensi berada di desa Canggal, Candiroto, Kabupaten Temanggung, Jawa Tengah, pada hari Ahad. Helikopter terbang ke Dataran Tinggi Dieng untuk mengangkut orang selepas letusan di Kawah Sileri ketika ia turun, membunuh dua orang. - Foto TheJakartaPost
Foto ihsan Taruna Bencana menunjukkan bangkai helikopter milik Kebangsaan Mencari dan Menyelamat Agensi berada di desa Canggal, Candiroto, Kabupaten Temanggung, Jawa Tengah, pada hari Ahad. Helikopter terbang ke Dataran Tinggi Dieng untuk mengangkut orang selepas letusan di Kawah Sileri ketika ia turun, membunuh dua orang. - Foto TheJakartaPost
Advertisement