Anda di sini

Mangsa kebakaran dapat perhatian JAMNS

Advertisement

SANDAKAN: Mangsa kebakaran Kampung Cahaya Baru, Batu 3 telah mendapat perhatian daripada Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah (JAMNS) apabila mereka hadir memberikan bantuan kebajikan, kelmarin.

Bantuan berbentuk barangan dapur, pakaian terpakai dan wang ringgit itu telah diserahkan kepada keluarga mangsa di lokasi kebakaran.

Walaupun masih dalam suasana Aidilfitri, JAMNS telah mengambil inisiatif dengan mendapatkan sumbangan orang ramai bagi menjayakan misi kebajikan itu.

Menurut Pengarah JAMNS Masru Mustaqim, sumbangan kebajikan itu adalah sebagai tanda keprihatinan JAMNS kepada mangsa kebakaran itu yang ditimpa kecelakaan di saat Aidilfitri masih diraikan.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, namun kita (JAMNS) hadir sebagai tanda persaudaraan sesama Islam kerana melihat mangsa kebakaran ini perlu dibantu,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada mangsa untuk bersabar menghadapi ujian yang menimpa ini kerana setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang ditemui, Abdul Hamid Hussin berkata setakat ini belum ada pihak yang turun membantu melainkan bantuan yang diberikan oleh JAMNS itu.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada JAMNS atas usaha yang dilakukan kerana mengambil berat nasib yang menimpa mereka.

Advertisement