Anda di sini

Mahkamah tolak permohonan gugur empat pengarah HSL

Advertisement

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis lalu menolak permohonan yang dibuat oleh seorang pemegang amanah syarikat pembinaan, marin dan kejuruteraan awam, Hock Seng Lee (HSL) Bhd bagi menggugurkan empat pengarah syarikat berkenaan.

Syarikat berkenaan dalam satu kenyataan akhbarnya berkata, mahkamah telah menolak permohonan yang dibuat oleh plaintif Yii Chee Ming untuk menggugurkan saudaranya, Pengarah Urusan HSL Datuk Yu Chee Hoe, Pengarah Eksekutif Tony Yu Yuong Wee dan Lau Kiing Kang serta Pengarah Bukan Eksekutif Lau Kiing Yiing.

“Keputusan mahkamah itu membuktikan saman dan tuduhan plaintif terhadap keempat-empat pengarah berkenaan adalah sengaja dan bahan bukti yang tidak mencukupi  untuk menyokong dakwaan plaintif,” kata kenyataan akhbar itu. 

HSL juga berkata, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan agar semua defendan membuat pendedahan mengenai pembelian dan penjualan saham dalam HSL dan Hock Seng Lee Enterprise Sdn Bhd.

“Lembaga Pengarah menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi dalam menolak permohonan yang dibuat plaintif untuk menggugurkan empat pengarah.

“Bagaimanapun, seperti dinasihat, Lembaga Pengarah tidak berpuas hati keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan agar pendedahan itu dibuat dan akan merayu terhadap keputusan berkenaan,” kata HSL.

Pada masa sama syarikat berkenaan turut memberitahu permohonan lisan untuk penangguhan telah dibuat dan mahkamah memerintahkan agar permohonan rasmi difailkan dan didengar semalam.

Sementara itu, mahkamah membenarkan penangguhan sementara bagi keputusan mengenai pendedahan berkenaan sementara menunggu permohonan penangguhan rasmi.

HSL berkata, dalam tempoh sejak permohonan itu dibuat untuk menggugurkan keempat-empat pengarah ia terus fokus kepada perniagaan syarikat dan masih berusaha untuk memberi hasil terbaik kepada pemegang saham dan pemegang berkepentingan.

Advertisement