Anda di sini

Imigresen mula operasi buru PATI

Advertisement

KLANG: Jabatan Imigresen mula melakukan operasi besar-besaran memburu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebaik sahaja tempoh permohonan kad sementara Enforcement Card (E-Kad) tamat tengah malam tadi.

Operasi diketuai sendiri ketua pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali yang menyerbu dua asrama pekerja di Batu 7 Kapar, Klang bersama sepasukan 86 pegawai dari Jabatan Imigresen Selangor dan Putrajaya.

Dalam serbuan itu, seramai 239 pekerja asing diperiksa dan didapati 51 daripada mereka termasuk 12 wanita tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih tempoh.

Mustafar berkata PATI yang ditahan memberikan pelbagai alasan tidak memohon E-Kad, antaranya tidak tahu tarikh tamat memohon dan majikan memberitahu tempoh permohonan E-Kad akan dilanjutkan.

"Di sini saya ingin tegaskan tarikh tamat permohonan tidak akan dilanjutkan, kita sudah memberikan tempoh yang cukup kepada pekerja asing dan majikan untuk membuat permohonan E-Kad, malah kami juga telah meminta kerjasama dari kedutaan negara sumber untuk melakukan hebahan mengenai E-Kad," katanya kepada pemberita selepas tamat operasi selama kira-kira dua jam itu.

Mustafar berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan majikan dan PATI yang didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan operasi memburu PATI akan dilakukan setiap hari.

E-Kad merupakan pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan yang sah untuk membolehkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen terus bekerja di sini.

Kad berkenaan bagaimanapun akan tamat tempoh pada 15 Feb tahun depan dan sebelum tempoh berkenaan pemegang kad berkenaan perlu mendapatkan dokumen perjalanan yang sah dari kedutaan negara masing-masing bagi tujuan permohonan permit kerja atau akan berdepan dengan pengusiran.

Hanya 23 peratus atau 161,056 PATI didaftarkan sehingga 10 malam tadi, iaitu dua jam sebelum tempoh akhir pendaftaran tamat pada 12 tengah malam.

Ia melibatkan 28,375 majikan dengan sebanyak 145,571 E-Kad dikeluarkan, jumlah yang jauh lebih rendah daripada sasaran asal 600,000 PATI. - BERNAMA

Operasi besar-besaran memburu PATI dimulakan sebaik sahaja tempoh permohonan kad sementara Enforcement Card (E-Kad) tamat tengah malam tadi. - Foto BERNAMA
Operasi besar-besaran memburu PATI dimulakan sebaik sahaja tempoh permohonan kad sementara Enforcement Card (E-Kad) tamat tengah malam tadi. - Foto BERNAMA
Advertisement