Anda di sini

Lelaki pecah rumah penghuni pulang beraya ditahan

Advertisement

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya enam kes pecah rumah di Apartment Permata, Bandar Perda di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, suspek berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan ke sebuah unit di pangsapuri sama kira-kira jam 1 petang kelmarin.

“Polis menerima laporan berhubung kes pecah rumah membabitkan penghuni yang pulang berhari raya di kawasan apartmen itu dan bertindak hasil maklumat serta risikan kami menyerbu kediaman disewa lelaki berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah lelaki yang berasal dari Seri Manjung, Perak itu polis menemui pelbagai peralatan elektrik antaranya televisyen, radio dan  pemanas air serta barang kemas dan pakaian yang dipercayai dicuri,” katanya di sini semalam.

Katanya, suspek dipercayai melakukan kegiatan itu dalam tempoh tiga hari bermula 24 Jun selepas memantau unit-unit yang penghuninya pulang ke kampung untuk berhari raya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek masuk ke rumah mangsa dan mencuri pelbagai barangan termasuk kuih raya, baju serta kasut yang ditinggalkan penghuni.

“Berdasarkan siasatan, lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu turut terlibat beberapa kes pecah rumah lain di sekitar daerah SPT sejak awal tahun ini. Kami turut merampas pelbagai peralatan pecah rumah antaranya pemutar skru,” katanya. —Bernama

Advertisement