Anda di sini

Dua maut, kereta bertembung di Taiping

Advertisement
 Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Kamunting Lama berhadapan Kem Sangro, dekat Taiping semalam. Dua penumpang maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian 5.36 pagi itu. — Gambar Bernama
TRAGIK: Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Kamunting Lama berhadapan Kem Sangro, dekat Taiping semalam. Dua penumpang maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian 5.36 pagi itu. — Gambar Bernama

TAIPING: Dua penumpang maut manakala dua lagi cedera selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Kamunting Lama berhadapan Kem Sangro, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Harith Kam Abdullah berkata dalam kejadian 5.37 pagi, dua yang maut ialah penumpang yang menaiki kereta jenis Proton Saga FLX, S. Yugandren, 27, dan M. Kalidasan, 25.

Katanya, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat tercampak keluar daripada kenderaan yang mereka naiki.

Pemandu kenderaan itu S. Sivanesan, 26, pula cedera di bahagian kepala manakala pemandu kereta jenis Audi A5 yang dikenali sebagai Hasral Noor Hasni, 47, hanya cedera ringan.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Sivanesan dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta yang dipandu Hasral dari arah Batu Kurau ke Taiping.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua penumpang kereta itu terpelanting keluar dan mati di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Harith Kam berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ )1987. — Bernama

Advertisement