Anda di sini

Pengunjung teruja sambutan rumah terbuka PM, Jemaah Menteri

Advertisement
 Najib (dua kanan) bersama Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) menyambut ketibaan para tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri 2017 di Seri Perdana di Putrajaya, kelmarin. — Gambar Bernama
SELAMAT HARI RAYA: Najib (dua kanan) bersama Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) menyambut ketibaan para tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri 2017 di Seri Perdana di Putrajaya, kelmarin. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Setiap kali Aidilfitri, acara Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana antara yang sering ditunggu masyarakat pelbagai kaum, khususnya dari kawasan sekitar Putrajaya dan Lembah Klang.

Bagi suami isteri, Liong Kim Poh, 71 dan Wong Kim Wea, 67, dari Temerloh, Pahang, mereka sanggup memandu jauh semata-mata untuk melihat sendiri sambutan Aidilfitri di kediaman rasmi perdana menteri.

Liong dan isteri yang tiba bersama anggota keluarga lain seawal jam 9 pagi, berkata mereka kagum melihat rakyat Malaysia pelbagai kaum dan latar belakang berhimpun memeriahkan sambutan hari raya.

Ini merupakan kali pertama saya berkunjung ke Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Sambutan sangat meriah dan dalam keadaan harmoni,” katanya kepada Bernama di sini.

Bagi warga emas berketurunan India yang hanya mahu dikenali sebagai Nagama, 67, impiannya untuk berkunjung ke rumah terbuka perdana menteri sejak sekian lama menjadi realiti kelmarin.

Kali ini baharu berpeluang. Saya datang dengan bas bersama-sama orang dari kampung saya di Serdang. Jam 9 kami dah sampai sini,” katanya yang merupakan antara yang terawal masuk ke pekarangan Seri Perdana.

Impian itu turut dikongsi pengunjung cilik, Om Sai Vaibhav, 5 yang datang bersama ibu bapanya untuk bertemu secara bersemuka dengan pemimpin nombor satu negara tersebut.

Anak pasangan Narayanan dan Shanthiny yang tiba seawal jam 7.30 pagi itu kelihatan cukup ceria dan tidak sabar untuk bersalam dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan idolanya.

Saya tanya ibu bapa saya bilakah saya boleh bertemu lelaki di dalam kaca televisyen itu (Najib), mereka kata bila majlis rumah terbuka hari raya. Sebab itu tahun ini mereka bawa saya ke sini bagi memenuhi hasrat saya,” katanya.

Sementara itu, seorang warga Yaman yang menetap di negara ini sejak lapan tahun lalu, Dr Anis Rageh Al-Malekil, 40 berkata dia dan keluarga memang sentiasa tertunggu-tunggu acara tersebut.

Ini kali keempat saya hadir. Memang menarik dapat meraikan Aidilfitri dengan pelbagai kaum dan kami tidak pernah melepaskan peluang bersalam dengan Perdana Menteri,” katanya yang datang bersama isteri serta empat anak mereka. — Bernama

Advertisement