Anda di sini

Timbang ganjaran kepada guru, pekerja sekolah menengah persendirian Cina: DAP

Advertisement
 Chong bersama Violet (kanan) dan Yii (kiri) pada sidang media semalam.
PERTIMBANG: Chong bersama Violet (kanan) dan Yii (kiri) pada sidang media semalam.

KUCHING: Kerajaan negeri diminta mempertimbangkan untuk memberi ganjaran seperti bonus khas kepada guru serta pekerja sekolah menengah persendirian Cina sebagai pengiktirafan sumbangan mereka kepada pendidikan di Sarawak.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata, skim gaji guru serta kakitangan atau pekerja di sekolah menengah persendirian berkenaan tidak sama dengan guru sekolah menengah kebangsaan kerana ia jauh lebih rendah.

“Di samping kerajaan memberi dana kepada sekolah-sekolah persendirian mereka juga sepatutnya memberi ganjaran kepada guru dan pekerja sekolah menengah persendirian ini atas sumbangan mereka.

“Mereka juga seperti guru lain yang berjaya melahirkan ramai profesional serta individu yang berjaya dari sekolah berkenaan dan kita berharap kerajaan negeri memberi ganjaran seperti bonus kepada mereka seperti mana yang dilakukan kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya pada sidang media yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong dan Pembantu Khas Chong, Kelvin Yii di Ibu Pejabat DAP di sini, semalam.

Tambah Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching, di Pulau Pinang kerajaan negeri telah memberikan bonus masing-masing RM600 kepada lebih 500 kakitangan dan guru di empat sekolah menengah persendirian Cina di negeri itu setiap tahun sejak 2014.

Beliau berkata, dengan perolehan negeri lebih RM1 bilion setiap tahun kepada Pulau Pinang, mereka masih mampu memberi bonus kepada kakitangan dan guru sekolah menengah berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

“Maka, saya berasakan kerajaan negeri ini juga mampu berbuat demikian kerana Sarawak berjaya mendapat lima kali ganda perolehan tahunan berbanding Pulau Pinang dan mencadangkan kerajaan negeri memberi bonus RM3,000 setiap guru dan kakitangan.

“Di Sarawak, guru dan kakitangan sekolah menengah persendirian adalah seramai 557 orang daripada 14 sekolah,” katanya sambil memberitahu di seluruh Sarawak terdapat seramai 8,602 pelajar sekolah menengah berkenaan dengan 233 daripadanya daripada bukan Cina.

Sementara itu dalam isu lain, Violet menggesa Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang lebih serius untuk menangani masalah berkaitan penduduk termasuk perparitan di Lorong Stapok 2 dan 2A di Skim Penempatan Semula stapok.

Katanya, Lo sepatutnya tidak menyalahkan penduduk sebagai punca perparitan berlaku tersekat dan terjejas, sebaliknya beliau harus melaksanakan projek menaik taraf sejak sekian lama.

“Lo perlu lebih efektif dalam menangani isu perparitan ini dan memulakan projek menaik taraf ini dari sekarang kerana masalah ini telah lama berlaku.

“Beliau tidak harus menyalahkan penduduk kerana ia sudah menjadi tanggungjawab pihak majlis melaksanakan kerja menaik taraf di mana mereka telah diberi peruntukan dalam projek ini,” katanya.

Advertisement