Anda di sini

Elak surau dan masjid suram, sepi

Advertisement
 Simbolik penyerahan cek geran dari Ripin (tujuh kiri) kepada wakil surau dan masjid pejabat Pusat Khidmat DUN Lambir semalam.
GUNA SEBAIKNYA: Simbolik penyerahan cek geran dari Ripin (tujuh kiri) kepada wakil surau dan masjid pejabat Pusat Khidmat DUN Lambir semalam.

MIRI: Jangan biarkan surau dan masjid suram dan sepi tanpa pengisian program-program pengimarahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat mahu jawatankuasa aktif merancang aktiviti mengajak penyertaan penduduk setempat memeriahkan masjid dan surau.

“Kita tidak mahu surau dan masjid hanya dipenuhi tahi cicak (sunyi kerana kurang dikunjungi),” jelasnya semalam.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyampaian geran kepada jawatankuasa masjid dan surau DUN Lambir untuk aktiviti sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan Ahad ini.

Pertemuan turut dijadikan peluang kepada jawatankuasa memaklumkan masalah dan berkongsi pendapat kepada beliau.

Ripin memberitahu, kerja-kerja menaik taraf surau dan masjid akan diteruskan selepas sambutan Aidilfitri.

“Kita akan memastikan surau dan masjid di DUN Lambir berwajah baharu. Sekarang banyak surau telah dibina baharu,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau mahu jawatankuasa untuk memanfaatkan sepenuhnya geran dengan menganjurkan program keilmuan dan keagamaan kepada penduduk.

Sempena sambutan Aidilfitri ini, Ripin merancang untuk mengadakan rumah terbuka untuk penduduk kampung di Lambir.

Lokasi untuk aktiviti itu akan diumumkan yang diharap dapat mengukuhkan hubungan silaturahim di kalangan penduduk dan menghidupkan budaya rumah terbuka.

Dalam pada itu, sebanyak tiga masjid dan 19 surau di DUN Lambir menerima geran khas Aidilfitri.

Setiap surau menerima RM3,000 sementara masjid menerima RM5,000.

Senarai kediaman ialah Kampung Kawang, Kampung Nusah, Kampung Hunai, Kampung Danau, Kampung Satap, Kampung Sepurau, Kampung Opak, Kampung Subak, Kampung Kluru Jaya, Kampung Kluru Tengah, Kampung Kejapil, Kampung Beraya, Kampung Siwa, Kampung Bakam, Kampung Raan, Kampung Sungai Rait, Kampung Taman Tunku, Kampung Sungai Dalam, Kampung Batu Lapan, Kampung Tunku Abdul Rahman dan Kampung Wawasan Lusut.

Selain geran, surau dan masjid juga menerima gegantung ucapan Hari Raya Aidilfitri daripada Pusat Khidmat DUN Lambir.

  • oleh
  • Advertisement