Anda di sini

Dua lolos dari penjara Bali ditangkap di Timor Leste

Advertisement

JAKARTA: Dua banduan rakyat asing yang meloloskan diri melalui terowong yang mereka gali di penjara Bali telah ditangkap di Timor Leste, kata polis semalam.

Rakyat Bulgaria Dimitar Nikolov Iliev dan rakyat India Sayed Mohammed Said ditangkap di hotel di Dili pada pagi kelmarin selepas sampai dengan menaiki bot secara haram dari Indonesia.

Mereka melarikan diri dari penjara Kerobokan pada Isnin lepas bersama dua banduan lain, rakyat Australia Shaun Edward Davidson dan rakyat Malaysia Tee Kok King.

Mereka pada mulanya ditangkap kerana memasuki Timor Leste tanpa dokumen yang sah, kata pegawai kanan polis Timor Leste Henrique da Costa, namun polis kemudian mengenal pasti kedua-duanya adalah dua daripada empat orang buruan Bali.

“Kemungkinan besar kami akan menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa Indonesia pada tengah hari Jumaat (semalam) setelah kami mengetahui mereka adalah orang buruan,” kata Da Costa.

Empat banduan rakyat asing melarikan diri dari penjara di Bali melalui lubang sebesar 50 x 75cm (20 x 30 inci) pada dinding penjara yang bersambung dengan terowong air sepanjang 15 meter menuju ke jalan raya utama.

Davidson – yang akan dibebaskan dalam masa beberapa bulan lagi – dan banduan rakyat Malaysia masih dalam buruan.

Kejadian melarikan diri dari penjara di Bali berlaku beberapa hari selepas beberapa banduan berenang melalui air banjir untuk meloloskan diri dari penjara Indonesia di wilayah Jambi selepas salah satu temboknya runtuh. Kebanyakan mereka kemudian berjaya ditangkap semula.

Pada Mei, lebih 440 ban-duan meloloskan diri dari penjara di Bandar Pekanbaru di pulau Sumatera selepas pengawal penjara melepaskan mereka keluar dari sel untuk bersembahyang. Hanya separuh berjaya ditangkap semula. — AFP

Advertisement