Anda di sini

Lambakan filem ganas antara faktor peningkatan gejala buli

Advertisement
 Lee menjawab soalan pada sidang media  selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Rosli di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Kuantan, semalam. — Gambar Bernama
JAWAB SOALAN: Lee menjawab soalan pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Rosli di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Kuantan, semalam. — Gambar Bernama

KUANTAN: Lambakan filem dan drama yang mengandungi adengan ganas dikenal pasti sebagai satu daripada faktor yang membawa kepada peningkatan gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, remaja pada masa kini semakin meminati filem bercorak sedemikian, menyebabkan peraturan yang lebih ketat wajar diperkenalkan dalam aspek penapisan filem.

Remaja hari ini semakin berminat menonton filem ganas. Mereka mudah terpengaruh dan merasakan bahawa keganasan yang ditonjolkan dalam filem itu adalah penyelesaian masalah, lalu menyebabkan berlakunya buli,” katanya.

Lee berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Pahang Datuk Rosli Ab Rahman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini semalam.

Beliau juga mengakui walaupun tindakan menapis filem dilakukan, remaja masih boleh mencari alternatif menonton filem seperti itu sama ada menerusi cakera padat digital atau cakera padat video (VCD) dan media sosial di Internet.

Sehubungan itu, Lee menyifatkan tindakan penapisan itu wajar diselarikan dengan kemahiran ibu bapa yang baik dalam mendidik anak-anak supaya mereka dapat membezakan perkara yang baik dan buruk.

Satu lagi faktor penting dalam menangani masalah buli ialah dengan memastikan remaja tidak bergaul dengan rakan sebaya yang negatif, yang merupakan aspek utama yang mempengaruhi dalam perkembangan diri remaja, katanya.

MCPF percaya semua faktor yang menyebabkan peningkatan kes buli ini boleh diatasi dengan kerjasama semua pihak seperti Lembaga Penapisan Filem dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam memantau filem bercorak ganas.

Bagi kemahiran keibubapaan pula, ada kementerian berkaitan yang boleh bantu. Begitu juga dengan masalah rakan sebaya negatif yang  boleh diuruskan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri masing-masing,” katanya.

Lee menambah MCPF juga berpendapat isu buli perlu dibincangkan di peringkat Majlis Sosial Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai menteri serta ahli akademik bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

Ini bagi mengelakkan ‘isu itu hanya dibincangkan setiap kali ia berlaku’ yang dikhuatiri akan menjadi terlalu lewat untuk menanganinya memandangkan gejala buli sejak akhir-akhir ini telah membawa kepada kematian mangsa, tambahnya.

Sementara itu, Rosli memaklumkan kejadian buli di sekolah di Pahang tidak berada pada tahap membimbangkan dan pada tahun lalu, hanya satu kes direkodkan dan siasatan mendapati ia berpunca daripada salah faham antara pelajar terlibat.

Rosli menambah pegawai perhubungan sekolah yang terdiri daripada pegawai polis juga sering mengadakan kunjungan ke sekolah sekitar negeri bagi menyampaikan ceramah kepada pelajar sebagai satu langkah pencegahan dan pemantauan. — Bernama

Advertisement