Anda di sini

Kerajaan lulus RM15 juta bina hubung kawasan Sg Stapang

Advertisement
 Jamit (empat kiri) mengetuai upacara ‘Ngiling Bidai’ Gawai Dayak 2017 di Rumah Richard Unggat.
‘NGILING BIDAI’: Jamit (empat kiri) mengetuai upacara ‘Ngiling Bidai’ Gawai Dayak 2017 di Rumah Richard Unggat.

KAPIT: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk membina jalan menghubungkan rumah panjang terletak di kawasan Sungai Stapang, Batang Rajang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat berkata, projek pembinaan jalan tersebut memberi kemudahan kepada penduduk rumah panjang kawasan terbabit yang sebelum ini hanya bergantung kepada pengangkutan sungai.

Pada musim kemarau, pengangkutan sungai amat mencabar kerana paras air yang cetek dan memerlukan segala kudrat untuk menarik perahu panjang melaluinya. Ini memakan masa perjalanan,” jelasnya.

Jamit berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan ‘Ngiling Bidai’ di Rumah Richard Unggat, Nanga Stapang Ili, Batang Rajang, baru-baru ini.

Ujarnya, kematangan penduduk luar bandar dalam politik menjadikan tugas sebagai wakil rakyat lebih komited  merancang lebih banyak program pembangunan demi manfaat rakyat.

Anda semua telah memberi kepercayaan dan sokongan yang kuat kepada kami. Saya bersama Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi akan terus berkhidmat kepada rakyat di sini.

Kerana perpaduan politik, kita dapat memberi perhatian sepenuhnya untuk merancang lebih banyak program pembangunan rakyat di sini.

Justeru, sesiapa memerlukan bantuan dan ingin menghubungi saya, anda boleh menghubungi Pusat Khidmat DUN Bukit Goram, Tingkat 1 Bangunan Meligai yang dibuka pada waktu pejabat setiap hari Isnin hingga Jumaat,” jelasnya.

Pada majlis sama, Jamit turut meluluskan geran sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Richard Unggat dan RM3,000 kepada Biro Wanita rumah panjang tersebut.

Hadir sama ialah Pemanca Enggin Nyipa, Penghulu Nalong Daga, Penghulu Pasang Tuba dan tuai rumah di Sungai Stapang.

Advertisement