Anda di sini

Masjid, surau bergema dengan bacaan al-Quran

Advertisement
 Peserta wanita mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran pada program Quran Hour di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn di Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama
MERDU: Peserta wanita mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran pada program Quran Hour di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn di Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Masjid dan surau di seluruh negara sekali lagi bergema dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sempena program Malaysia #QuranHour semalam.

Edisi ketiga program itu yang diadakan pada 10 hari terakhir Ramadan, sekali lagi mendapat sambutan menggalakkan dan sokongan padu masyarakat Islam di seluruh negara yang bersatu hati menjayakan program itu yang berlangsung selama sejam bermula jam 12 tengah hari semalam.

Bertemakan ‘Bangsa Berbudi & Penyayang’, program itu yang diadakan secara besar-besaran di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, turut dianjurkan di beberapa lokasi di negeri-negeri seluruh negara.

Ia dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Kumpulan Media Karangkraf dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. 

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudin Shah berkenan berangkat menyertai kira-kira 5,000 orang yang berkumpul di Masjid Tuanku Mizan Zai-nal Abidin untuk menjayakan program itu.

Sementara itu, lebih 200 kakitangan dan penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) meluangkan masa membaca ayat-ayat suci al-Quran sempena program itu diadakan di Masjid Haji Ahmad Shah, di kampus universiti berkenaan di Gombak di sini.

Turut mengambil bahagian ialah perpustakaan awam seluruh negara yang menganjurkan program #MalaysiaNgaji bersempena Malaysia #QuranHour yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat Islam termasuk pelajar sekolah.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Datuk Nafisah Ahmad berkata program kali kedua itu, yang menyasarkan satu juta peserta, diadakan bagi mengukuhkan budaya membaca al-Quran itu

Seramai 739,645 peserta mengambil bahagian dalam program itu pada penganjuran pertamanya pada 29 Jun tahun lepas, katanya di sini.

Di PAHANG, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Nik Ibrahim Nik Abdullah berkata hampir 2,000 masjid dan surau di seluruh Pahang menyertai Malaysia #Quran-Hour.

Beliau berkata pihaknya telah memaklumkan kepada 604 masjid dan 1,372 surau di seluruh negeri itu bagi bersama-sama membaca ayat suci al-Quran.

Di NEGERI SEMBILAN, lebih 1,000 peserta menyertai program Malaysia #Quran-Hour 2017 peringkat negeri yang diadakan di Kompleks Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.

Pengerusi Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Seremban Gharizah Hashim berkata program itu turut disertai kakitangan dan mahasiswa USIM, golo-ngan muallaf, wakil Orang Asli dan Orang Kurang Upaya (OKU) buta dan bisu.

Beliau berkata program Malaysia #QuranHour itu juga diadakan di masjid-masjid di negeri itu, Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Balai Undang Luak Johol serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuala Pilah dan Seremban 3.

Di  PERAK, sekurang-kurangnya 10,000 individu terdiri dalam kalangan rakyat negeri ini terlibat dalam program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di seluruh Perak, semalam.

Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak Datin Normah Hanum Ibrahim berkata peserta terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan, sektor swasta, badan korporat, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar.

Kita gembira kerana sambutan yang diberikan semua pihak amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui semasa perasmian program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Azlan Shah di sini, semalam.

Beliau berkata program Malaysia #QuranHour yang pertama berlangsung di Masjid Kampung Melayu Sungai Rapat tahun lepas.

Di PERLIS, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man menyarankan umat Islam mengamalkan tabiat membaca al-Quran sepanjang masa, bukan hanya pada bulan Ramadan atau hari-hari tertentu sahaja.

Berucap merasmikan pe-lancaran program #MalaysiaNgaji sempena Malaysia #QuranHour peringkat negeri anjuran bersama Perpustakaan Awam Negeri Perlis dan Jabatan Mufti Perlis di Masjid Alwi di sini, semalam, beliau berkata umat Islam harus melatih diri memahami kalam Allah itu untuk dijadikan panduan dalam hidup.

Dianggarkan antara 11,000 hingga 15,000 terlibat dengan pembacaan al-Quran serentak di negeri itu yang diadakan di Perpustakaan Awam Negeri, tiga perpustakaan cawangan, sebuah perpustakaan bandar serta lebih 30 perpustakaan desa.

Di KEDAH, seramai 200 peserta menyertai Program #QuranHour anjuran kali kedua Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah.

Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah Datuk Aminuddin Omar berkata program itu bermula dari 12 hingga 1 tengah hari dalam usaha merealisasikan misi dan visi perpustakaan ke arah membina kekuatan jiwa sesama insan dengan kembali kepada al-Quran.

Ia merupakan inisiatif spiritual di bawah kelolaan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan pelaksanaan program ini diharap dapat mendekatkan al-Quran dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus menjadikan Perpustakaan Awam Negeri relevan dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada program itu di sini, semalam.

Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan dan Pembangunan Insan berkata program itu harus diteruskan setiap tahun pada bulan Ramadan supaya amalan membaca al-Quran dapat membentuk akhlak mulia.

Di TERENGGANU, program MALAYSIA #Quran-Hour bukan sahaja melibatkan pihak masjid dan surau sebagai penganjur tetapi juga Jabatan Pendidikan Negeri, Perpustakaan Negeri serta hotel.

Kira-kira 250 peserta memeriahkan program itu di Perpustakaan Negeri, dengan majoriti peserta adalah pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan yang menamatkan bacaan sekurang-kurangnya satu juzuk dalam tempoh sejam.

Pengarah Perpustakaan Negeri Marzialina Mohamed berkata tahun lepas, Terengganu mencatat penyertaan 250,000 peserta dan beliau menjangka jumlah itu me-ningkat tahun ini berikutan inisiatif pelbagai pihak termasuk pejabat agama bagi menarik perhatian orang ramai termasuk menerusi laman sosial.

Kebanyakan mereka yang hadir menyertai program ini secara sukarela dan untuk hari ini (semalam) sahaja di sini, sebanyak tujuh sekolah di Terengganu turut mengambil bahagian termasuk daripada Institut Al Quran Terengganu,” katanya kepada pemberita di sini.

Di JOHOR BAHRU, kira-kira 1,500 peserta mengambil bahagian dalam program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn dekat sini, semalam.

Program kali ketiga anjuran Rumah Ngaji Negeri Johor itu menyaksikan setiap peserta yang mengambil bahagian diberi satu muka surat dan dibaca mengikut surah yang berbeza serta di baca secara serentak

Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Johor Shamsudin Ismail berkata program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO), orang kelainan upaya (OKU), mualaf, pelajar serta umat Islam.

Sementara itu,  Pengarah Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Abdul Salam Muhamad Shukri berkata selain di kampus utamanya, UIAM juga menganjurkan acara itu di masjid kampus Kuantan dan Gambang di Pahang serta kampus UIAM di Petaling Jaya, Selangor yang disertai lebih 1,500 orang.

Selain itu, katanya, UIAM Gombak diberi kepercayaan menganjurkan World #Quran-Hour tahun ini dan akan dipilih sebagai lokasi perdana untuk Malaysia bagi program itu pada 31 Ogos depan.

Penganjuran World #QuranHour itu turut me-nerima sokongan Global Alumni UIAM yang berada di seluruh dunia seperti di Arab Saudi, Turki, Bosnia Herzegovina dan beberapa negara lain. — Bernama

Advertisement