Anda di sini

Obor Sukan SEA 2017 diarak di Langkawi

Advertisement

LANGKAWI: Obor Sukan SEA 2017 (KL2017) tiba di Langkawi petang semalam setelah menamatkan penjelajahan di Perlis diarak dalam larian melalui Pantai Cenang malam tadi.

 Pegawai Daerah Langkawi, Isahak Murat berkata kira-kira 200 peserta bergilir- gilir membawa obor berkenaan dalam larian sejauh lima kilometer itu bermula jam 10 malam.

 “Larian akan bermula dari Resorts World Langkawi (di Tanjung Malai) sehingga ke Telaga Walk Cenang sebelum obor ini dibawa balik ke Resorts World Langkawi untuk dipamerkan kepada umum,” katanya kepada pemberita di sini.

 Sebe lum i tu, be l i a u menerima obor berkenaan daripada 20 peserta larian dari daerah Kubang Pasu, Kedah yang diketuai Mohd Azhar Abdullah, yang merupakan Pegawai Khas kepada Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz.

 Isahak berkata obor itu diarak menggunakan kereta kabel dari Oriental Village ke puncak Gunung Machinchang hari ini seterusnya obor itu diserahkan kepada wakil daerah Kota Setar di sana.

 Sementara itu, Larian Obor tiba di Kedah kelmarin dalam siri jelajahnya selepas penjelajahan di Perlis selama dua hari.

 Larian obor itu yang tiba di Kompleks Komuniti Sukan Jerlun pada 2.30 petang diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pelancongan Perlis, Abdul Jamil Saad kepada Othman.

 Majlis penuh simbolik itu turut disertai lebih 30 buah motosikal berkuasa tinggi dan tiga jentera pembajak, sebelum obor berkenaan diserahkan kepada Othman yang juga merupakan Anggota Parlimen Jerlun.

 Othman berkata larian obor itu akan berlangsung di Kedah selama tiga hari bermula kelmarin sebelum diserahkan kepada wakil Pulau Pinang di Dataran Zero, Sungai Petani.

 — Bernama

Advertisement