Anda di sini

Projek dipamer di Pavilion Malaysia, Astana mampu beri sumbangan besar kepada KDNK

Advertisement

ASTANA (KAZAKHSTAN): Pelbagai projek dan inovasi yang dipamerkan di Pavilion Malaysia pada Ekspo Astana 2017 berpotensi menghasilkan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara apabila dikomersialkan kelak.

Timbalan Pesuruhjaya Pavilion Malaysia Ekspo Astana 2017 Datuk Loo Took Gee berkata Malaysia antara lain mengetengahkan inovasi-inovasi penjimatan tenaga melalui teknologi terkini yang diyakini mampu menarik minat pelabur.

Projek yang telah kita paparkan antaranya light-emitting diode (LED) yang dipanggil GaN on GaN yang membantu menjimat penggunaan tenaga elektrik dan mengurangkan kesan pengeluaran karbon terhadap alam sekitar .

Ini satu projek yang sedang kita jalankan melalui kerjasama universiti dan syarikat swasta dan sedang menanti ia berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Naib Menteri Tenaga Kazakhstan, Gani Sadibekov di Pavilion Malaysia di Astana Ekspo 2017, di sini kelmarin.

Turut dipamerkan projek ‘dense array concentrated solar photovoltaic’ daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang mampu menghasilkan keefisienan lebih tinggi untuk penjanaan elektrik.

UTAR membuat jangkaan penjanaan elektrik yang boleh dihasilkan melalui projek ini, yang melibatkan penggunaan sel solar ‘multijunction’ yang mampu mencapai kecekapan dalam lingkungan 35 peratus. Ini satu projek yang boleh mendatangkan sumbangan besar terhadap KDNK negara,” katanya.

Loo berkata, Malaysia turut berkongsi dengan para pelawat Pavilion Malaysia mengenai usaha kerajaan ke arah penjanaan lebih tenaga baharu atau tenaga hijau serta usaha menjimatkan penggunaan tenaga.

Mengulas lawatan Gani Sadibekov ke Pavilion Malaysia, beliau berkata pihak Kazakhstan berhasrat mengadakan perbincangan lanjut berhubung teknologi dihasilkan Malaysia. — Bernama

Advertisement