Anda di sini

KKM, MARA sertai inisiatif Negaraku

Advertisement
 Najib pada pelancaran kerjasama Negaraku KKM dan MARA di ruang legar Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Dr Salleh Said Keruak. — Gambar Bernama
PELANCARAN: Najib pada pelancaran kerjasama Negaraku KKM dan MARA di ruang legar Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. Turut hadir Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Sri Dr Salleh Said Keruak. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyertai inisiatif Negaraku sebagai komitmen memupuk semangat patriotik di dua agensi kerajaan itu.

Sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif Negaraku itu, KKM dan MARA akan memaparkan logo Negaraku di kenderaan serta pemakaian lencana logo pada uniform kakitangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melancarkan kerjasama inisiatif Negaraku itu di sini semalam, melekatkan logo Negaraku pada bas milik KKM dan MARA sebagai simbolik permulaan kerjasama berkenaan.

Hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia dan juga Pengerusi Inisiatif Negaraku Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Inisiatif Negaraku yang diilhamkan Najib bertujuan memupuk semangat patriotik di seluruh negara.

KKM dalam kenyataannya berkata sebagai permulaan, kementerian itu akan memaparkan pelekat Negaraku di kenderaan seperti ambulans dan klinik bergerak.

KKM akan memasang pelekat Negaraku di semua kenderaan kementerian secara berperingkat di seluruh negara selain lencana logo Negaraku diedarkan secara berperingkat kepada semua anggota kesihatan beruniform di KKM sebagai tanda simbolik KKM menyokong penuh inisiatif Negaraku, katanya.

KKM juga menetapkan penggunaan #SihatNegaraku sebagai hastag rasmi KKM pada tahun ini. — Bernama

Advertisement