Anda di sini

Kerajaan tanggung peningkatan subsidi haji hampir RM60 juta

Advertisement

Setiap jemaah ditanggung subsidi berjumlah RM9,750

MELAKA: Kerajaan dijangka menanggung peningkatan subsidi haji hampir RM60 juta untuk musim haji tahun ini susulan kenaikan kos mengerjakan ibadah itu, kata Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata tahun lalu, jumlah subsidi haji yang ditanggung adalah sekitar RM180 juta bagi memastikan bayaran haji bagi setiap jemaah Malaysia kekal pada RM9,980. 

“Tahun ini ada peningkatan iaitu daripada RM180 juta kepada lebih RM230 juta, penambahan mendadak hampir RM60 juta. Jumlah inilah yang ditanggung oleh kerajaan yang memberi subsidi RM9,750 kepada setiap jemaah.

“Setakat ini (ada) lebih 30,000 jemaah haji Malaysia dan angka ini dijangka mencecah 40,000 sekiranya kita mendapat kuota tambahan pada saat akhir,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih Ramadan 2017 bersama TH, di sini semalam.

Pada program itu, 1,500 penduduk di kawasan Parlimen Bukit Katil menerima sumbangan wang tunai RM200 seorang sebagai bantuan menyambut Aidilfitri daripada Yayasan TH dan UMNO yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata peningkatan subsidi haji yang ditanggung kerajaan itu jelas membuktikan tuduhan sesetengah pihak bahawa kerajaan dan TH muflis adalah tidak berasas dan berniat jahat.

“Jika kerajaan nak bankrap, TH nak bankrap...mana mungkin kita boleh menampung peningkatan subsidi ini. Jangan pedulikan ini semua fitnah yang hendak menjatuhkan kerajaan dan TH kerana kira-kira 9.3 juta pendeposit TH adalah orang Islam.

“Jadi salah satu cara mereka ingin menjatuhkan kita adalah dengan cara memfitnah TH. Rakyat jangan mudah terpedaya (dengan fitnah) yang semata-mata untuk kepentingan politik individu tertentu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Yayasan TH memperuntukkan RM300,000 untuk diagih kepada 131,000 rakyat di 67 kawasan parlimen di seluruh negara sebagai bantuan menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata sumbangan akan disalurkan secara berperingkat kepada umat Islam tanpa mengira fahaman politik seiring dengan program Jom Bantu Rakyat yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. — Bernama

Advertisement