Anda di sini

Rakyat Malaysia di Qatar tiada masalah pulang sambut Aidilfitri

Advertisement

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Qatar tidak berdepan masalah untuk pulang ke tanah air bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau bagaimanapun menasihati mereka yang sudah menempah tiket untuk pulang berhari raya agar memeriksa jadual penerbangan dan mematuhi peraturan yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan di sana.

Saya nasihatkan rakyat Malaysia di Qatar untuk periksa jadual penerbangan mereka kerana saya difahamkan ada obligation yang dikenakan Qatar Airways iaitu ada ruang udara tertentu yang tidak dapat kebenaran untuk dilalui.

Disebabkan itu mungkin mereka yang telah menempah tiket akan berdepan dengan rescheduling flight mereka. Itu sahaja... yang lain tidak ada masalah,” katanya selepas meraikan kelahiran lapan bayi sempena hari Nuzul Al-Quran anjuran Persatuan Wanita Unity Malaysia (PERWIM) di Hospital Kuala Lumpur semalam.

Menurut beliau kira-kira 5,000 rakyat Malaysia yang kini berada di Qatar dalam keadaan selamat dan sentiasa dihubungi oleh kedutaan di Doha bagi mendapatkan perkembangan semasa.

Katanya Wisma Putra juga sentiasa memantau perkembangan geopolitik di negara itu serta tahap keselamatan rakyat Malaysia di sana susulan krisis yang berlaku di rantau Teluk.

Ketika ini tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana krisis yang berlaku tidak menyebabkan Qatar bertukar menjadi zon konflik, peperangan atau apa-apa yang sampai ke tahap itu.

Keadaan di sana terkawal dan kita sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya. — Bernama

Advertisement