Anda di sini

Baik pulih dan bina baharu 100 sekolah daif

Advertisement
 Pelajar dari Sarawak di Semenanjung Malaysia berswafoto bersama Abang Johari pada majlis berbuka puasa bersama rakyat Sarawak di Semenanjung Malaysia di PWTC.
TAK LEPAS PELUANG: Pelajar dari Sarawak di Semenanjung Malaysia berswafoto bersama Abang Johari pada majlis berbuka puasa bersama rakyat Sarawak di Semenanjung Malaysia di PWTC.

Ia telah dipersetujui Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan dengan Abang Johari baru-baru ini

KUALA LUMPUR: Sarawak akan membaik pulih atau membina semula 100 sekolah daif yang telah dikenal pasti di negeri ini dengan kadar segera menggunakan pendekatan baharu.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata perkara itu telah dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu baru-baru ini.

Perdana Menteri telah memberi keputusan membenarkan saya dan rakan-rakan dalam kabinet negeri untuk membaik pulih atau membina semula 100 sekolah daif di luar bandar Sarawak dengan segera.

Kita akan menggunakan pendekatan baharu untuk membaik pulih atau membina semula 100 sekolah daif ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat Sarawak yang bekerja dan belajar di Semenanjung Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam kelmarin (Sabtu).

Beliau memberitahu, Sarawak akan menumpukan usaha membangunkan pendidikan di negeri ini dan tidak boleh bergantung 100 peratus kepada kerajaan pusat sebaliknya harus mempunyai pendekatan sendiri.

Oleh itu ujarnya, sebuah kementerian baharu ditubuhkan iaitu Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi untuk membantu kerajaan pusat memberi pendidikan yang lebih baik kepada rakyat Sarawak.

Bukan bermakna kita mahukan hak-hak pendidikan daripada kerajaan pusat tetapi kita hendak membantu memberi pendidikan yang lebih baik kepada anak-anak kita, sebab itulah kita menubuhkan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi.

Penubuhan kementerian ini akan memastikan dasar pendidikan khususnya di Sarawak tidak bersifat ‘flip-flop’,” tegasnya.

Dalam ucapan beliau itu juga Abang Johari berkata Sarawak akan meneruskan usaha untuk mengambil semula hak-hak Sarawak daripada kerajaan pusat yang telah terhakis.

Ini bukan usaha sehari tetapi berterusan serta melibatkan banyak proses.

Pada masa sama kerajaan negeri akan merancakkan pembangunan di kawasan luar bandar dan membangunkan bandar baharu di kawasan bandar-bandar utama di Sarawak yang sangat pesat membangun,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata Sarawak akan melonjakkan pembangunan ekonomi menerusi ekonomi digital dan bagi tujuan itu RM1 bilion telah diperuntukkan untuk meningkatkan kadar kelajuan Internet termasuk di kawasan luar bandar dari 4mbps setiap isi rumah ketika ini kepada 100mbps dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketika ini perkhidmatan Internet di Sarawak masih lemah terutama di luar bandar, hanya ‘buffering’. Maka saya telah membuat keputusan untuk menaikkan kelajuan kepada empat (4) Terabit Sesaat.

Saya percaya ini akan dapat melonjakkan lagi ekonomi kerana perhubungan sudah ada…

Sekarang semuanya berkaitan e-dagang, e-bayaran dan sebagainya. Di luar bandar kelebihannya ialah produk pertanian. Jika perkhidmatan Internet dapat dipertingkatkan, produk pertanian ini dapat dipasarkan terus ke pasaran menerusi e-dagang,” katanya.

Beliau menambah dengan membangunkan ekonomi digital, Sarawak dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan sesuai dengan bidang pengkhususan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu isteri Ketua Menteri Datin Amar Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani serta beberapa menteri kabinet negeri dan pusat dari Sarawak.

Advertisement