Anda di sini

Watson sertai Larian Obor Sukan SEA KL2017 di Miri

Advertisement

Seramai 29 orang pelari termasuk bekas pelari pecut negara - Watson Nyambek, atlet Orang Kelainan Upaya (OKU), Donny Jaranding dan atlet wanita, Felicia Munyat menyertai Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Taman Negara Mulu di sini semalam.

 Mulu dikenali sebagai tapak warisan dunia merupakan destinasi Larian Obor KL2017 kedua di Sarawak selepas Limbang sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata penganjuran Larian Obor KL2017 di sini merupakan satu peluang mempamerkan keindahan Taman Negara Mulu dan Gunung Mulu kepada negaranegara luar.

 “Penduduk di sini juga berpeluang melihat Obor Sukan SEA 2017 yang mengelilingi seluruh Asia Tenggara.

 “Adanya larian obor itu kita dapat turut sama merasai bahang Sukan SEA yang akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos, manakala Sukan Para ASEAN pada 17 hingga 23 September depan,” katanya ketika merasmikan larian itu di sini semalam.

 Gerawat turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana memilih Mulu sebagai salah satu lokasi Larian Obor KL2017.

 Gimik bagi larian obor tersebut apabila Obor KL2017 dibawa menaiki bot di Gua Air Jernih dan selepas itu pelari terakhir iaitu Watson menyerahkan obor tersebut kepada pemangku Residen Sibu, Katis Noel Nyabong dan Residen Miri, Sherrina Husaini.

 Turut mengambil bahagian ialah ADUN Telang Usan, Dennis Ngau.

 Larian obor di Sarawak bermula 8 Jun lalu di Limbang dan bakal berakhir di Kuching pada 13 Jun ini selepas melalui daerah-daerah utama seperti Sekuau, Sibu dan Kota Samarahan.

 Larian Obor KL2017 merupakan satu pra-acara kepada temasya Sukan SEA 2017 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017 dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri di Malaysia.

Advertisement