Anda di sini

Sprm hadir di ibu pejabat fgv untuk  ambil dokumen berkaitan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sepasukan pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat memasuki bangunan Menara FELDA di Jalan Persiaran KLCC di sini susulan isu membabitkan FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) ketika ini.

Sepasukan 20 pegawai dan anggota SPRM itu tiba di pekarangan bangunan itu, yang menempatkan ibu pejabat FGV pada jam 10 pagi semalam dan kemudiannya naik ke pejabat berkenaan. Mereka turut dilihat membawa beg dokumen.

Difahamkan, pasukan SPRM itu mahu mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan di pejabat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV Datuk Zakaria Arshad yang ditempatkan di tingkat 45 bangunan terbabit dan dijangka selesai pada jam 3 petang.

Sekumpulan empat pegawai SPRM lain tiba di pejabat berkenaan pada jam 1.30 petang, dengan seorang daripada mereka turut membawa beg dokumen.

Semalam, Zakaria tampil di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dengan berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV untuk memberi keterangan.

Pada Selasa (6 Jun), Zakaria dan tiga lagi pegawai pengurusan kanan FGV dan anak syarikatnya diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta.

Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Karim, dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar telah diminta bercuti.

FGV memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Zakaria akan bercuti sementara menunggu hasil siasatan pelbagai urus niaga yang dijalankan oleh anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd. — Bernama

Advertisement