Anda di sini

Bersama mengupayakan golongan kurang upaya: Rosmah

Advertisement
 Rosni (dua kiri) dan Asiah (kanan) menyarungkan baju raya kepada adik Fatimah Al Zaharah Firdauz (tengah) dan Balqis Abdullah ketika menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada para pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada Program Semai BAKTI di Mydin, Taman Pelangi Indah, Johor Bahru, semalam. — Gambar Bernama
SUMBANGAN: Rosni (dua kiri) dan Asiah (kanan) menyarungkan baju raya kepada adik Fatimah Al Zaharah Firdauz (tengah) dan Balqis Abdullah ketika menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada para pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada Program Semai BAKTI di Mydin, Taman Pelangi Indah, Johor Bahru, semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berharap masyarakat tidak memandang enteng akan keupayaan golongan kurang upaya (OKU) dalam melakukan sesuatu perkara.

Ini kerana, kata Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) itu, setiap OKU mempunyai kelebihan dan keupayaan masing-masing dengan ada antara mereka yang lebih hebat berbanding individu normal.

Rosmah memberi contoh pencapaian atlet paralimpik negara yang bukan sahaja berjaya merangkul emas tetapi juga mencipta rekod baharu dunia semasa Paralimpik Rio 2016 di Brazil.

Sebagai anggota masyarakat yang duduk dalam sebuah komuniti, kita haruslah bersatu memainkan peranan dalam membangunkan modal insan ini tanpa mengira sebarang perbezaan.

Tunjukkanlah sifat keprihatinan dalam diri kita untuk membantu mereka selagi mampu, malah Islam juga mengajar kita menjaga hubungan sesama manusia,” katanya dalam ucapan  pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri BAKTI kepada pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sekitar Johor, di sini semalam.

Sehubungan itu, Rosmah berharap tidak ada lagi suara-suara yang mempertikaikan keupayaan golongan istimewa tersebut dan sebaliknya berusaha memberi sokongan sewajaranya kepada mereka.

Teks ucapannya  dibacakan oleh Yang Dipertua Pertubuhan Badan Amal Tenaga Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Johor (JUITA) Datin Rosni Omar selaku wakil rasmi beliau.

Pada masa sama Rosmah mengakui terdapat  anjakan persepsi masyarakat yang semakin prihatin terhadap golongan ini yang  menunjukkan masyarakat Malaysia secara kolektifnya, telah memahami dan menyantuni golongan berkenaan.

Katanya  di peringkat kerajaan, golongan terbabit juga tidak pernah disisihkan malah melalui Kementerian Wanita, Pembangunan dan Masyarakat, satu pelan tindakan telah dibangunkan bagi  memperkasakan mereka dalam aspek ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan, infrastuktur, pasaran kerja dan lain-lain.

Dalam senario lain, keprihatinan terhadap golongan istimewa ini telah mendapat perhatian yang memberangsangkan apabila  rakyat Malaysia tampil bersatu memberi sokongan dan sorakan terhadap atlet-atlet paralimpik negara pada Kejohanan Paralimpik di Brazil tahun lepas.

Di dada-dada media dan laman sosial pula dibanjiri ucapan-ucapan masyarakat yang berasa bangga dengan kemenangan anak-anak istimewa ini,” katanya.

Pada majlis semalam 44 pelatih PDK sekitar Johor Bahru menerima sumbangan berkenaan iaitu dari  Kulai (9), Muar (36), Tangkak (16), Segamat (40), Kluang (43), Pontian (16), Kota Tinggi (36), Batu Pahat (36) dan Mersing (24).

Sumbangan berbentuk duit raya dan kelengkapan pakaian raya itu bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa mereka yang kurang berkemampuan selain  meningkatkan jati diri dan kecekalan diri golongan istimewa ini dalam meneruskan kehidupan mereka pada masa depan.

Bakti turut menyampaikan sumbangan peribadi berupa duit raya kepada 150 penyelia dan petugas PDK dan 40 sukarelawan dari Universiti Teknologi MARA. — Bernama

Advertisement