Anda di sini

Polis Terengganu tingkat pemantauan penjualan mercun kawasan kampung

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu meningkatkan lagi pemantauan penjualan mercun di kawasan kampung dan premis kediaman selain di bazar Ramadan bagi mengekang sebarang musibah.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata rondaan juga akan dilakukan di lokasi orang ramai yang sering bermain mercun ketika umat Islam sedang mengerjakan solat sunat tarawih.

Setakat ini hanya satu rampasan (mercun) telah dibuat di Marang. Kita juga giat memantau kegiatan penyeludupan bahan larangan sepanjang Ramadan ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat Asistan Superintenden Polis (ASP) dan Sarjan serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 kontinjen Terengganu di sini semalam.

Pada majlis itu tujuh Inspektor dinaikkan pangkat kepada ASP dan empat Koperal dinaikkan pangkat Sarjan.

Kelmarin, akhbar melaporkan seorang murid tahun tiga cedera di tangan kiri selepas mercun bola yang digabungnya meletup dan serpihannya terkena pada tangan kiri dalam kejadian di kampung Wakaf Beruas, di sini.

Sementara itu, Aidi berkata polis kini giat memburu dua individu yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian di sebuah kedai emas di Jalan Banggol pada Ahad lalu.

Kejadian itu hanya disedari kira-kira pukul 9.30 pagi ketika pemiliknya ingin memulakan perniagaan sebelum mendapati sejumlah barangan kemas miliknya telah hilang.

Siasatan lanjut berhubung kes berkenaan sedang dilaksanakan dan nilai kerugian juga masih dalam siasatan... kita sedang memburu dua suspek yang dianggarkan berusia sekitar 30 an sehingga 40-an ,” katanya. — Bernama

Advertisement