Anda di sini

Pujut: SUPP tolak pemilihan calon langsung

Advertisement

KUALA LUMPUR: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berpegang teguh dengan prinsipnya yang menolak idea meletakkan calon langsung untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN), terutama pada Pilihan Raya Kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pujut akan datang.

Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian berkata jika perkara itu diamalkan sekali lagi, BN akan kelihatan tidak ubah seperti pembangkang yang didakwanya, sentiasa mengubah ‘jajaran’.

“Saya selalu berkata bahawa kami (SUPP) tidak menyokong calon langsung BN kerana biar siapa pun yang menjadi calon langsung BN, beliau perlu meletak jawatan (daripada parti yang sedang dianggotainya), jadi lebih baik sahajalah menyertai SUPP dan mengekalkan semangat dan prinsip BN kami,” katanya kepada pemberita di Parlimen semalam selepas mengangkat sumpah sebagai senator bagi penggal kedua.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, calon langsung dipilih bagi menghentikan perbalahan mengenai kerusi antara SUPP dan kumpulan serpihannya, Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) serta  Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Calon langsung BN adalah daripada UPP dan TERAS, yang bukan merupakan sebahagian daripada parti gabungan yang memerintah.

Bagaimanapun, Dr Sim berkata SUPP akan menyerahkan perkara berkaitan pemilihan calon kepada para pemimpin BN dan menurut beliau, parti itu telah mengemukakan beberapa nama kepada Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg untuk pertimbangan beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 20 Jun sebagai hari penamaan calon dan 4 Julai sebagai hari mengundi bagi PRK Pujut.

PRK diadakan itu susulan keputusan Dewan Undangan Negeri Sarawak melucutkan kelayakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Dr Ting Tiong Choon pada 12 Mei kerana didakwa memiliki kerakyatan Australia.

Tujuh puluh ADUN BN menyokong usul itu, yang dibentangkan Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, yang juga presiden UPP, sebuah parti mesra BN manakala 10 ADUN pembangkang menolaknya.

Pada PRN Ke-11 tahun lepas, Dr Ting memenangi kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 undi, mengalahkan calon BN Datuk Hii King Chiong, calon PAS Jofri Jaraiee dan calon Bebas Fong Pau Teck. — Bernama

Advertisement