Anda di sini

Dari pemberontak menjadi pemimpin disegani

Advertisement
 Para pendaki berehat seketika sambil menanti ketibaan peserta lain di puncak Bukit Keruin yang menempatkan  kubur                    Bantin dan Rengga.
LETIH: Para pendaki berehat seketika sambil menanti ketibaan peserta lain di puncak Bukit Keruin yang menempatkan kubur Bantin dan Rengga.

TIDAK sampai lima minit, Ngumbang bermimpi bertemu dengan Kumang - Dewi yang sangat cantik dan merupakan isteri kepada Keling - dewa yang mengikut mitos Iban sangat berkuasa, sakti, gagah perkasa serta memiliki kuasa ajaib.

Dalam mimpinya, Ngumbang dibawa melawat Panggau Libau dan sebaik menaiki rumah panjang Orang Gelong itu Kumang yang mengiringinya menunjukkan satu tempat dipanggil ‘Panggau Raja’.

Sebaik menghampiri Panggau Raja, Kumang segera mencabar Ngumbang agar menggoncang Panggau Raja itu.

“Ngumbang yang rasa tercabar segera menuruti arahan Kumang dan sedaya upaya menggoncang Panggau Raja menyebabkan Panggau Raja itu runtuh sekelip mata,” kata Jawa.

Kumang yang terkejut melihat Panggau Raja itu roboh segera berkata “Jangan bimbang kamu wahai Ngumbang, biar bala bujang berani kami orang Panggau melawan tentera musuh itu. Bangunlah kamu dan beritahu Bantin, bantuan akan tiba dan kamu semua akan selamat,” demikian menurut mimpi Ngumbang dan ia segera diceritakan Ngumbang kepada Bantin.

 Inilah penutup atas yang digunakan untuk membawa tulang Rengga dari penjara Sintang yang terletak berhampiran lokasi kuburnya.
TIDAK LAPUK DEK ZAMAN: Inilah penutup atas yang digunakan untuk membawa tulang Rengga dari penjara Sintang yang terletak berhampiran lokasi kuburnya.

JELMAAN ULAR NABAU

Tiba hari yang dinanti-nantikan, bala tentera Sarawak Kingdom pimpinan Rajah Charles Brooke sampai di tempat Bantin berkubu iaitu di Nanga Delok.

Sebelum bala tentera tiba Bantin dan Ngumbang yang terlebih dahulu bersedia tiba-tiba melihat kehadiran tiga lelaki tidak dikenali serta lengkap bersenjata dan sangat gagah menghampiri mereka berdua.

“Bantin dan Ngumbang, kenapa kamu berdua masih tercegat di situ, mari bersama kami menggempur bala tentera musuh...biar mereka tahu betapa kita tidak gentar melawan mereka sekali pun bilangan tidak terhitung,” kata salah seorang daripada lelaki itu dan belum sempat Ngumbang dan Bantin membalas kelibat ketiga-tiga lelaki yang gagah perkasa itu sudah pun berada di seberang sungai.

Menurut Jawa, tiga lelaki itu adalah pahlawan Iban dari Panggau yang dihantar untuk membantu Bantin dan Ngumbang melawan tentera musuh.

“Endai lapa seduai deh alu cegit-cegit dia, bai meh perengka perang seduai. Tu kami sebuat mantu nuan ngelaban bala munsuh nya...(Kenapa kamu berdua masih tercegat di situ, bawalah kelengkapan perang. Kami bertiga membantu awak menentang musuh,” demikian menurut Jawa ketika meniru dialog bujang berani dari Panggau kepada penulis.

Dan tidak semena-mena kedengaran satu bunyi dentuman yang sangat kuat menghempas sungai hingga mewujudkan gelombang yang sangat besar. Benda yang jatuh secara tiba-tiba dari langit itu dikatakan sebesar pemeluk orang dewasa dan berukiran sangat cantik merentangi sungai yang memuatkan deretan perahu kayau Rajah Brooke.

“Musuh yang tidak mengetahui akan benda yang berukiran cantik itu terus menombak benda tersebut menggunakan tombak masing-masing dan dari bekas luka pada badan benda tersebut keluar bau hanyir bersama darah yang terus mengalir ke sungai,” kata Jawa dan ketika diajukan pertanyaan benda tersebut beliau memberitahu ia seekor ular raksasa dikenali ‘Nabau’ yang dihantar Kumang dan Lulung untuk membantu ketiga-tiga lelaki misteri tersebut dan Bantin serta Ngumbang menumpaskan musuh yang seramai 12,000 orang.

Tambahnya, musuh yang tidak mengesyaki sesuatu dan mungkin teruja kemenangan akan berpihak kepada mereka dikatakan mengambil air itu untuk diminum.

“Peliknya selepas mengambil air dan diminum, seorang demi seorang tentera musuh jatuh ke dalam sungai dan dikatakan mati tanpa diketahui hujung pangkal...kematian musuh itu bukan seorang dua malah ribuan orang memaksa tubuh musuh ada di mana-mana dengan setiap gigi air, lubuk, tebing sungai dipenuhi mayat yang terapung.

“Kesan daripada meminum air tersebut, tentera Rajah Brooke berkurangan dan kalah sebelum pertempuran sebenar...ada banyak kepercayaan berhubung kait kematian misteri tentera musuh. Ada yang mengatakan ia disebabkan kolera kerana ada antara tentera musuh dikatakan sakit perut yang teramat sangat hingga menemui ajal hingga mengatakan ia Perang Kolera,” katanya dan menambah terdapat kepercayaan kematian yang banyak itu disebabkan bantuan Orang Panggau.

Rentetan itu, Rajah James Brooke yang tidak berputus asa dan bersifat pendendam itu kemudian membawa bala tenteranya menyerang Bantin di Bukit Belumbung, di Ulu Delok.

Bantin dan para pengikutnya yang masih mengekalkan tradisi berpindah randah yang sangat tidak digemari Rajah Brooke kemudian berhijrah ke Nalan Ketupung, juga di Delok, Skrang.

Namun tempat baharu itu masih belum menjamin dia tidak diserang apabila Rajah Brooke sekali lagi mengerahkan tentera menyerang Bantin dan pengikutnya - juga tetap menemui jalan buntu sebaliknya mengakibatkan kehilangan nyawa di pihak musuh.

Susulan dua kekalahan itu, Rajah Brooke sekali lagi menghimpunkan tenteranya dan kali ini menyasarkan Bantin yang sebelum itu berpindah lagi ke Bukit Pampar, Ulu Delok.

Dengan bala tentera yang ramai serta dilengkapi senjata moden, Bantin dan pengikut setianya akhirnya tewas buat pertama kali.

“Disebabkan tidak tahan sentiasa diburu dan diserang Rajah Brooke, saki-baki pengikut Bantin mengambil keputusan berpisah dan mencari haluan masing-masing. Mereka dikatakan berpindah ke Batang Ai, Kanowit, Katibas dan Ulu Batang Rajang,” kata Jawa.

“Manakala Bantin membawa ahli keluarga dan pengikut yang masih tinggal berhijrah ke Kalimantan (ketika itu tiada sekatan sempadan dan halangan untuk penghijrahan antara wilayah) dengan berjalan kaki menuju ke Entubuh, anak Sungai Lembuyan dari Ulu Delok.

“Beliau kemudian membuat penempatan di Nanga Entubuh, dalam daerah Kalimantan Barat (Kalbar), Indonesia ketika ini dan beliau mati tua di situ.

“Oleh kerana moyang kami Bantin seorang yang sangat berani, pintar, memiliki harta yang banyak dan bukan orang sebarangan maka jasad beliau telah disemadikan di puncak Bukit Keruin - tempat di mana kuburnya berada kini. Kubur beliau pula selang beberapa kaki dari kubur anaknya Rengga yang terlebih dahulu meninggal dunia dalam usia yang masih muda akibat diracun,” kata Jawa lagi.

 Tempayan milik Bantin yang diterimanya kerana berjaya menyelesaikan satu pertikaian besar          di Kapit oleh pemerintah ketika itu.
TINGGALAN SEJARAH: Tempayan milik Bantin yang diterimanya kerana berjaya menyelesaikan satu pertikaian besar di Kapit oleh pemerintah ketika itu.

DARI PEMBERONTAK MENJADI PEMIMPIN DISEGANI

Bercerita lanjut, Jawa berkata pada penghujung hayatnya, Bantin kerap diundang Rajah Brooke menjadi pihak perantara puak-puak yang bertelagah ketika itu.

“Buktinya beliau pernah diundang sehingga ke Kapit oleh pemerintah bagi menyelesaikan satu pertikaian kaum dan Bantin berjaya menyelesaikan pertikaian itu dan dihadiahi dengan tempayan besar yang kini masih tersimpan

di kediaman Yang Berhormat Dr Johnical Rayong Ngipa di Skim Skrang selain beberapa peninggalan lain antaranya parang Nyabur (sejenis senjata yang lebih kecil daripada parang ilang), bedil (meriam kecil yang boleh dibawa ke mana-mana dan pernah digunakan menentang bala tentera Kesultanan Brunei) dan sebagainya yang kini menjadi koleksi yang tidak ternilai cicitnya Dr Rayong,” ujarnya mengakhiri kisah pejuangan moyangnya Bantin.

  • oleh
  • Advertisement