Anda di sini

Jabatan Kesihatan Sarawak sentiasa pantau peniaga bazar Ramadan

Advertisement

SIBU: Jabatan Kesihatan Sarawak sentiasa memantau peniaga di bazar Ramadan negeri ini bagi memastikan mereka mengendalikan makanan dengan bersih dan selamat untuk dijual.

Pengarahnya, Dr Jamilah Hashim berkata peniaga harus mengendalikan makanan dengan cara betul dan bersih seperti ditetapkan pihak berkuasa tempatan kepada peniaga-peniaga.

Beliau berkata, ini termasuk makanan yang dipamerkan kepada pelanggan bagi mengelak daripada pencemaran.

Kita mahu semua peniaga bazar berada di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan, secara umum wajib mematuhi syarat dikenakan ke atas mereka.

Pemantauan dilakukan setiap hari di semua bazar Ramadan, malah mengambil ‘simple’ makanan turut dilakukan pada bila-bila masa dirasakan perlu,” katanya dihubungi kelmarin.

Ketika tinjauan Utusan Borneo di Bazar Ramadan Bandong Walk di sini semalam mendapati rata-rata peniaga menitikberatkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan mereka.

Salah seorang peniaga, Haris Seruji, 62, berkata beliau sentiasa memastikan makanan dijual dalam keadaan bersih dan selamat sebelum dijual kepada pelanggan.

Kebersihan dan cara kita mengendalikan makanan itu sangat penting kerana merupakan faktor utama pelanggan datang ke gerai kita.

Oleh itu, saya memastikan setiap makanan saya jual ditutup rapi bagi mengelak dihinggapi oleh lalat, dengan itu pelanggan yakin dengan kebersihan kita,” katanya yang telah berniaga lebih 10 tahun dalam perniagaan makanan.

Haris menjual lebih 30 jenis lauk-pauk setiap hari berkata, beliau tidak menyimpan lebihan makanan tidak habis sebaliknya mendermakan kepada orang lain.

Jadi, pada esoknya saya masak lauk-pauk daripada bahan mentah yang segar,” katanya.

Katini Sakawi, 50, yang berniaga pelbagai kuih-muih turut sependapat dengan Haris bahawa aspek kebersihan dalam penyediaan makanan penting untuk menarik pelanggan.

Katanya, makanan mudah tercemar dan dihinggapi lalat jika tidak ditutup atau dijaga dengan baik.

Jadi tidak salah rasanya jika kita sebagai peniaga wajib menjaga kebersihan makanan agar pelanggan tidak keracunan makanan,” kata beliau.

Sementara itu, penyelaras Bandong Walk, Mohamad Safree Mohamad Kassim berkata peniaga di situ diarahkan supaya menjaga kebersihan mengikut standard kebersihan ditetapkan.

Beliau berkata, sebelum ini peniaga-peniaga di Bandong Walk telah menghadiri kursus pengendalian makanan.

Advertisement