Anda di sini

Polis Johor aktifkan anggota MIB tingkat kawalan keselamatan

Advertisement
 Anggota polis Johor melakukan pemeriksaan rambang dalam meningkatkan kawalan keselamatan bagi mencegah jenayah dan aktiviti kumpulan pengganas Daesh di tempat-tempat tumpuan orang awam seperti di pusat membeli belah, perhentian bas, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan terminal feri di Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama
TINGKAT KAWALAN: Anggota polis Johor melakukan pemeriksaan rambang dalam meningkatkan kawalan keselamatan bagi mencegah jenayah dan aktiviti kumpulan pengganas Daesh di tempat-tempat tumpuan orang awam seperti di pusat membeli belah, perhentian bas, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan terminal feri di Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengaktifkan penugasan kawalan melibatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) berpakaian ‘Men In Black’ (MIB) bagi meningkatkan pemantauan dan kawalan keselamatan di kawasan tumpuan awam di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman berkata pemantauan dilakukan termasuk di pasar raya, kedai emas, bank, perhentian bas, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan terminal feri.

MIB di seluruh Johor diaktifkan untuk memberi keyakinan kepada masyarakat mengenai peningkatan kawalan keselamatan selain mencegah aktiviti jenayah dan kumpulan pengganas.

Ia melibatkan 10 pegawai dan 57 anggota JSJ Muar, Tangkak, Segamat, Kluang, Mersing, Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan, Seri Alam, Iskandar Puteri, Kulai dan Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, polis Johor akan meneruskan penugasan kawalan keselamatan ini mengikut keperluan dan keadaan bagi menjamin keselamatan negeri ini.

Kamarul Zaman berkata polis turut memeriksa 148 warga tempatan dan 69 warga asing kelmarin, menerusi penugasan kawalan keselamatan di kawasan tumpuan awam di negeri ini bagi mencegah jenayah dan aktiviti kumpulan Daesh.

Katanya bagaimanapun tiada sebarang penahanan dilakukan. — Bernama

Advertisement