Anda di sini

Penganggur dipenjara 15 tahun, rompak suri rumah warga emas

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur yang merompak seorang suri rumah menggunakan pisau, di rumah mangsa  dengan berpura-pura  mahu mengagihkan kad jemputan perkahwinan, dihukum penjara 15 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang, di sini hari ini.

Hakim Datuk Unaizah Mohd menjatuhkan hukuman itu ke atas A.K. Vinuthan, 28, selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan itu setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Selepas mengambil kira hujahan pihak pendakwaan, pembelaan dan mitigasi tertuduh, mahkamah dengan ini mendapati tertuduh bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan,” kata hakim itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam. Sebaik hukuman dijatuhkan, Vinuthan yang berada di kandang tertuduh kelihatan tidak henti-henti menangis sehingga dibawa keluar ke lokap.

Unaizah menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar keterangan tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan pada prosiding perbicaraan bermula 31 Okt 2014.

Vinuthan bersama-sama seorang lagi individu didakwa telah melakukan rompak berkumpulan menggunakan senjata pisau terhadap V. Bama, 62, dengan mengambil harta tertuduh iaitu barangan kemas, wang tunai dan tiga  unit komputer riba, yang keseluruhannya bernilai RM50,000.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di rumah mangsa di Jalan Wira 1, Taman Grandview Ampang, pada 2 petang, 26 Dis 2013 mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah pergi ke rumah mangsa dan memperdaya mangsa bahawa dia hendak menghantar kad jemputan perkahwinan tetapi sebenarnya mahu melakukan rompakan.

Terdahulu ketika rayuan tertuduh yang diwakili peguam AS Dhaliwal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan tertuduh yang belum berkahwin itu masih muda dan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan tempoh pemenjaraan yang panjang mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius yang mengancam harta benda dan nyawa mangsa.— Bernama

Advertisement