Anda di sini

Tidak cukup bas untuk balik kampung

Advertisement

Lebih kurang 93 perjalanan sehari, masih tidak cukup tampung jumlah penumpang
 

KUCHING: Lebih kurang 93 perjalanan sehari, masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah penumpang yang begitu ramai di Terminal Bas Ekspres Kuching Sentral di sini, yang sebilangan besarnya balik bercuti di kampung halaman bagi meraikan perayaan Hari Gawai Dayak yang hanya tinggal tiga hari lagi.

Pengurus Terminal Bas Ekspres Kuching Stanley Ong berkata perkhidmatan bas ekspres mula penuh sejak 26 Mei lalu, sehingga pihaknya bersama 16 syarikat bas ekspres yang beroperasi perlu membuat perjalanan tambahan bagi memastikan setiap orang dapat sampai ke destinasi masing-masing.

Beliau menjelaskan, berbanding pada hari biasa (bukan musim perayaan), jumlah perjalanan dari terminal hanya 60 kali sehari.

Kami telah menambah bilangan bas sebanyak 38 peratus atau lebih 20 buah untuk melakukan perjalanan tambahan disebabkan jumlah penumpang yang ramai kerana kalau tidak, ramai yang mungkin tidak dapat pulang,” katanya ketika ditemu bual, semalam.

Menurut Stanley, waktu perjalanan bas ekspres daripada terminal Kuching Sentral adalah dari jam 6 pagi hingga 11 malam.

Antara syarikat bas ekspres yang beroperasi di Kuching Sentral ialah Bus Asia, Lanang, Eva, Bintang Jaya, Sg Merah, Baram, MTC, Rafflesia dan CPL.

Promoter Bus Asia Mohd Firdaus Abdullah, 48, juga mengakui bas mereka tidak mencukupi untuk menampung jumlah penumpang walaupun sudah membuat perjalanan tambahan sekurang-kurangnya melibatkan tiga bas.

Katanya, keutamaan perjalanan adalah untuk mereka yang sudah membuat tempahan atau membeli tiket secara online.

Justeru, beliau berkata mereka yang membeli tiket pada saat akhir di kaunter akan berhadapan masalah dari segi waktu perjalanan yang tidak dapat ditentukan, bergantung kepada bas yang ada.

Tiket banyak, cuma bas tidak cukup…jadi kalau yang beli tiket dari kaunter, untuk mendapat bas kena tunggu berjam-jam,” katanya sambil memberitahu, jumlah bas Bus Asia yang beroperasi adalah sebanyak 17 buah.

Seorang penumpang, Empaling Unjar, 40, adalah salah seorang mangsa yang perlu menunggu bas kerana membeli tiket secara terus di kaunter.

Bekerja sebagai ejen pelancongan di Kuala Lumpur, beliau bersama isteri dan dua anaknya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada sekitar jam 9 pagi dan terus menaiki teksi ke terminal bas ekspres Kuching Sentral yang hanya terletak berhampiran.

Namun disebabkan membeli tiket di kaunter, mereka perlu menunggu selama dua jam untuk perjalanan balik ke Kampung Perdu Spak, Betong.

Kami berharap dapat sampai ke kampung lebih awal tetapi apa boleh buat, kena tunggu bas dua jam kerana bas tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui di Kuching Sentral, semalam.

Sementara itu, tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam turut kelihatan sesak khususnya dengan ketibaan ramai anak-anak Dayak yang bekerja dan sebagainya di Semenanjung Malaysia dan luar negara, yang pulang menyambut Gawai di kampung halaman masing-masing.

Seorang daripadanya adalah anak Kampung Sungai Lundu, Doris Binji, 50, yang sudah bekerja di Kuala Lumpur selama 20 tahun malah berkeluarga di sana.

Pulang bersama seorang anak lelakinya, Doris berkata hanya pada musim perayaan Gawai adalah peluang untuknya bertemu dengan sanak saudara dan sahabat-handai di mana tahun ini, beliau membeli tiket lebih awal iaitu pada Januari.

Bagaimanapun, katanya keterujaan untuk pulang meraikan Gawai khususnya bersama ahli keluarga pada tahun ini hilang, kerana bapa saudaranya baharu meninggal dunia.

Tiket sudah beli, balik saja... sekurang-kurangnya, masih dapat berjumpa dengan ahli-ahli keluarga yang lain walaupun berasa sedih dengan kehilangan bapa saudara saya,” katanya.