Anda di sini

Perpaduan penting untuk ASEAN hadapi ancaman luar: Duta

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bergerak ke hadapan melangkaui 50 tahun penubuhannya,  ASEAN perlu mendepani apa juga cabaran secara bersama khususnya ancaman luar bagi memastikan kestabilan dan keselamatan rantau itu, terutamanya di Laut China Selatan, kata Duta Besar  Jepun di Malaysia Dr Makio Miyagawa.

Beliau berkata Laut China Selatan merupakan ujian bagi ASEAN untuk membuktikan kesepaduannya dalam mendepani isu itu secara efektif, berikutan perkumpulan serantau itu telah memainkan peranan penting dalam menganjurkan dialog bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan di Asia.

“ASEAN telah mewujudkan formula politik-keselamatan pelbagai peringkat seperti ARF (Forum Rantau ASEAN) dan EAS (Sidang Kemuncak Asia Timur), yang telah berjaya menjamin kepusatannya. Semua itu wajar dikagumi.

“Bagaimanapun cabaran keselamatan yang paling mendesak bagi ASEAN (pertikaian kawasan di Laut China Selatan) telah membelenggu sejak beberapa tahun lepas,” katanya pada majlis makan tengah hari dihoskan oleh kedutaan itu bersempena Meja Bulat Asia Pasifik (ARF) Ke-31 selama tiga hari yang berakhir di sini pada Rabu.

ASEAN  ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Tidak semua negara anggota ASEAN terbabit dalam pertikaian Laut China Selatan. Penuntut kawasan yang dipertikaikan hanya membabitkan empat negara  ASEAN - Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam dan China.

Miyagawa berkata dua faktor adalah kritikal bagi penyelesaian secara adil terhadap pertikaian itu iaitu penyelesaian mengikut prinsip undang-undang antarabangsa  sejagat, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa  Bersatu bagi Undang-Undang Laut 1982, dan prinsip tiada pembabitan ketenteraan dan kawalan diri, yang telah dipersetujui oleh pemimpin ASEAN pada 2016.

“Mana-mana Kod Tatalaku (CoC) yang mengikat di sisi  undang-undang perlu digunakan secara efektif dalam menyelesaikan kawasan dan bidang kuasa yang dipertikaikan itu selaras dengan undang-undang antarabangsa dan bukannya dalam mana-mana cara yang boleh menjejaskan dan meremehkan DoC 2002. Sekira CoC, yang kini masih di peringkat rundingan, gagal menyediakan itu, semua akan tertanya-tanya apa merit yang ada dengan mengambi kira ia mengambil masa 15 tahun untuk didraf,” katanya.

DoC atau Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan diterima pakai oleh negara anggota  ASEAN dan China pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-8 di Kemboja pada 4 Nov, 2002, antara lain menyaksikan pihak-pihak bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian kawasan dan bidang kuasa itu secara aman, menerusi konsultasi dan rundingan oleh negara berdaulat yang terlibat secara langsung.

Menurut laporan, China dan ASEAN bersetuju dengan kerangka bagi CoC di Laut China Selatan pada bulan ini, selepas mesyuarat di Guiyang, China walaupun difahamkan bahawa kod itu tidak mengikat di sisi undang-undang sepertimana yang dikehendaki oleh ASEAN.

Duta itu berkata satu lagi cabaran bagi  ASEAN tatkala ia bergerak melangkaui  ulang tahun jubli emasnya adalah persoalan memperluaskan peranannya dalam meningkatkan lagi kerjasama serantau dengan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah tertangguh hampir dua tahun. — Bernama

Advertisement