Anda di sini

SSC dan MSNS mulakan pendekatan psiko-fisiologi tingkat prestasi atlet elit

Advertisement
 Chin (kiri) dan Garry (kanan) membantu pemegang rekod sekolah kebangsaan acara baling tukul besi, Johnny Ling.
TINGKAT PRESTASI: Chin (kiri) dan Garry (kanan) membantu pemegang rekod sekolah kebangsaan acara baling tukul besi, Johnny Ling.

KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) telah memulakan pendekatan canggih psiko-fisiologi untuk meningkatkan prestasi atlet elit Sarawak.

Pendekatan itu dijalankan oleh Dr Garry Kuan dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Dr Chin Ngien Siong dari Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Ra­zak (IPGKTAR) Samarahan dengan melakukan analisis ‘biofeedback’, sistem ‘halo neuroscience’ dan latihan kemahiran mental terhadap atlet elit tenpin boling, lontar peluru, lempar cakera dan baling tukul besi di Kuching, Sarikei dan Sibu dari 7 hingga 9 Mei 2017.

Mereka antara pasukan pa­kar Sains Sukan diketuai Dr Balbir Singh Bhagwan Singh yang disokong Institut Sukan Negara (ISN) Pusat Satelit Sarawak (latihan mental dan psikologi sukan).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSC merangkap Pen­garah MSNS, Dr Ong Kong Swee berkata sukan Sarawak perlu melangkah ke depan secara lebih profesional dan saintifik.

Menurutnya, bidang ‘bio­feedback’ dan ‘halo neuro­science’ adalah cara yang efisien dan berkuasa tinggi untuk meningkatkan prestasi atlet profesional dan Olimpik untuk mendapatkan prestasi terbaik.

Tambahnya, sokongan padu dari Jabatan Pendidikan Negeri, SSC, MSNS dan per­satuan sukan penting untuk memastikan program tersebut berjaya dilaksanakan dengan baik.

Antara pelontar Sarawak yang turut serta ialah Queenie Ting Kung Ni, Florence Wong Poh Yee, Johnny Ling Siew Hong, William Wong Tung Wei dan Kong Ching Poh.

Jurulatih terkemuka dari Sarikei, Thomas Ling Neng Thung berkata memahami kemuncak prestasi dan min­da amat mustahak kerana pendekatan saintifik terse­but telah membantu beliau memahami pemikiran atlet dan mengawal emosi mereka semasa pertandingan.

Beliau juga berharap pro­gram sama lebih kerap diad­akan terhadap atlet Sarikei dan Sibu untuk meningkatkan per­siapan mental mereka sebelum menghadapi SUKMA 2018.

Advertisement